Saya membidas kenyataan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang menuding jari kepada kerajaan negeri Selangor atas isu gangguan bekalan air yang akan berlaku dalam seminggu ini.
Seperti mana yang dimaklumkan oleh Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka yang dijalankan di Pencawang Masuk Utama (PMU), Bukit Badong, Kuala Selangor akan mengakibatkan gangguan bekalan air di Lembah Klang dari 19.12.16 sehingga 24.12.16. Sehubungan dengan itu, gangguan bekalan air adalah disebabkan kerja senggaraan TNB.
Adakah Chong Sin Woon, selaku Timbalan Menteri Pendidikan negara kita, tidak faham apa yang disebut oleh pihak TNB dan sebaliknya sibuk membuat tohmahan yang tidak berasas terhadap pihak kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan? Adakah kerajaan negeri Selangor memiliki TNB? Jawapannya adalah tidak.
UMNO BN telah memainkan isu air di seluruh negeri Selangor mahupun Lembah Klang sejak pimpinan Pakatan memegang tampuk pentadbiran negeri Selangor. MCA, khususnya Pemuda MCA, bukan sahaja tidak bersolidariti dengan rakyat Selangor dalam isu air ini, malah telah menuding jari kepada pihak yang salah dalam hal ini. Adakah tindakan Pemuda MCA ini adalah cuba untuk melindungi dalang sebenar isu ini yakni UMNO BN?
Sekali lagi saya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Chong Sin Woon yang langsung tidak munasabah dan menasihatinya untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan sedemikian yang mengelirukan serta memalukan diri sendiri dan partinya yang sudah lama ditolak oleh rakyat Selangor.