Skip to content

Membidas penyalahgunaan AUKU dan menuntut untuk menghentikan segala tindakan yang menzalimi kebebasan bersuara mahasiswa/wi

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching dan Pengarah Hal-Ehwal Varsiti DAPSY, Leong Yu Sheng membidas tindakan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya (UM) yang menzalimi kebebasan bersuara keempat-empat mahasiswa/wi UM yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan menuntut kabinet untuk mengarahkan pihak HEP varsiti awam untuk menghentikan segala tindakan prosiding terhadap 12 mahasiswa/wi yang lantang bersuara menentang skandal 1MDB.

Keempat-empat pemimpin mahasiswa/wi tersebut merupakan pimpinan University of Malaya Association of New Youth (UMANY). Mereka telah diambil tindakan prosiding oleh pihak HEP UM lantaran tindakan mereka yang mempamerkan plakad sewaktu berlangsungnya forum 1MDB yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dinaungi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Keempat-empat mereka hanya mempamerkan plakad yang menuntut penjelasan berkenaan dengan skandal 1MDB dan sehubungan dengan itu mereka telah diambil tindakan disiplin oleh pihak HEP UM. Sesi prosiding tersebut telah berlangsung pada 07.03.2017. Bekas Presiden UMANY, Ho Chi Yang telah dikenakan amaran dan didenda sebanyak RM300.00 manakala sesi prosiding untuk ketiga-tiga mahasiswa/wi yang lain telah ditunda dan mereka telah dimaklumkan bahawa tarikh prosiding belum ditentukan lagi.

DAP ingin menegaskan bahawa keempat-empat pemimpin mahasiswa/wi yang diambil tindakan prosiding hanyalah melaksanakan hak kebebasan bersuara mereka yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Pihak HEP UM tidak seharusnya menzalimi mahasiswa/wi yang lantang bersuara menentang skandal 1MDB untuk menutup skandal tersebut mahupun menakut-nakutkan mahasiswa/wi yang lain. Jangan lupa bahawa kini telah terdapatnya sekurang-kurangnya 12 mahasiswa/wi yang telah diambil tindakan prosiding akibat usaha mereka yang membantah skandal 1MDB.

Pada Disember tahun lepas, 4 mahasiswa/wi Universiti Malaya (UM) yang menganjurkan perhimpunan “Tangkap MO1” telah dikenakan tindakan prosiding oleh pihak HEP UM selepas tamatnya perhimpunan tersebut. Anis Syafiqah Md Yusof, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli, dan Mohamad Luqman Nul Hakim Zul Razali telah digantung pengajian mereka selama satu semester dan didenda sebanyak RM400.00 manakala Suhail Wan Azahar turut didenda RM400.00. Seterusnya, pemimpin mahasiswa UKM, Asheeq Ali yang turut menganjurkan perhimpunan “Tangkap MO1” telah digantung pengajiannya selama 1 semester oleh pihak HEP UKM dan didenda sebanyak RM200.00.

Bermulanya awal Januari tahun ini, aktivis mahasiswa UiTM, Ahmad Ariffin turut diajukan surat prosiding oleh pihak universiti UiTM atas penglibatannya dalam perhimpunan “Tangkap MO1” dan Bersih 5.0. Pada 25 Januari 2017, pimpinan Suara Mahasiswa yakni Mukmin Nantang dan Aqilah Zainuzi yang turut merupakan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah telah diambil tindakan prosiding oleh pihak UMS lantaran penglibatan mereka dalam himpunan Bersih 5.0.

DAP menyeru kerajaan UMNO BN supaya tidak lagi menzalimi mahasiswa/wi dengan undang-undang rimba seperti AUKU dan sebaliknya harus menghormati hak kebebasan bersuara setiap warganegara Malaysia khususnya mahasiswa/wi yang merupakan pewaris negara pada masa hadapan. Kesemua pemimpin mahasiswa yang diambil tindakan prosiding hanyalah menyatakan bantahan mereka terhadap skandal 1MDB dan maka segala hukuman yang disabitkan terhadap mereka adalah tidak adil dan munasabah lantaran pimpinan mahasiswa adalah berhak untuk bersuara demi rakyat jelata.

DAP turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak universiti yang jelas menyalahgunakan kuasa dan mengekang kebebasan akademik terutamanya perihal varsiti awam yang menganjurkan sesi cuci otak 1MDB. Tindakan campur tangan kerajaan sebegini bukan sahaja telah mencabuli kebebasan akademik universiti, malah ini juga merupakan taktik rejim UMNO yang ingin menutup segala skandal rasuah yang didalangi oleh Najib Razak selama ini.

Rejim UMNO BN tidak pernah berpilih kasih dalam menzalimi gerakan mahasiswa, dari UM di Kuala Lumpur sehinggalah UMS di Kota Kinabalu, kerajaan UMNO BN tetap menindas segala gerakan mahasiswa.

DAP akan mempertahankan kesemua mahasiswa/wi yang dizalimi, khususnya kebebasan bersuara keempat-empat pemimpin mahasiswa/wi UMANY tersebut.

DAP menyatakan solidaritinya terhadap semua pemimpin mahasiswa yang diambil tindakan prosiding oleh pihak universiti dan sekali lagi DAP mendesak pihak HEP varsiti tempatan yang dinaungi UMNO BN agar tidak lagi meneruskan penindasan politik terhadap mahasiswa/wi dan mengembalikan hak kebebasan bersuara kepada semua mahasiswa/wi.