Skip to content

Membidas serangan blog pro-UMNO MYKMU.net terhadap DAP yang menuduh DAP merancang pembongkaran skandal membabitkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia

Saya membidas serangan blog pro-UMNO MYKMU.net terhadap DAP yang menuduh DAP merancang pembongkaran skandal membabitkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) baru-baru ini. YaPEIM didakwa NGO National Oversight and Whistleblowers (NOW) bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertanggungjawab melantik dua individu menyertai lembaga pemegang amanah sebuah yayasan Islam naungan kerajaan yang kini di bawah penelitian kerana masalah kewangan. Selain daripada itu, NOW turut mendedahkan sebuah keluarga pentadbiran atasan YaPEIM membolot 26 jawatan dengan jumlah gaji RM154,700 sebulan.

Seorang pimpinan wanita Umno Kelantan didakwa menerima gaji bulanan RM45,500 daripada tujuh jawatan yang disandangnya manakala anak lelakinya (RM31,200) dan suaminya (RM5,000), bermakna keluarga itu mendapat RM81,700 sebulan.

Seorang lagi pimpinan YaPEIM memperoleh pendapatan RM73,000.00 sebulan dengan memegang 12 jawatan serta dana YaPEIM sebanyak RM223,000 telah disalurkan ke Rompin untuk membantu UMNO/BN semasa PRK Rompin yang lalu.

Saya tidak menafikan bahawa YaPEIM telah banyak membantu umat Islam tetapi adakah ia bermakna pegawai-pegawai boleh berbuat sesuka hati dengan sumbangan tersebut? Dan yang menjadi persoalannya sekarang, adakah perlantikan pemimpin UMNO Wanita Kelantan dan ahli keluarganya sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (YaPEIM) yang menerima elaun yang begutu tinggi itu adalah menerusi prosedur yang adil dan telus.

MYKMU.net harus memberi tekanan kepada pihak berkenaan melaksanakan siasatan secara terbuka bagi memastikan dana YaPEIM yang sepatutnya digunakan untuk membantu umat Islam tidak disalahguna untuk tujuan politik dan digunakan untuk meningkatkan kekayaan ahli-ahli UMNO. Ini adalah kerana dana YaPEIM merupakan dana untuk umat Islam dan bukannya dana untuk UMNO. Menteri berkenaan dan kerajaan wajib menjawab keraguan yang timbul dikalangan pemberi sumbangan berikutan pendedahan tersebut.

Atau adakah pemimpin UMNO turut menerima dana-dana yang disumbangkan oleh orang ramai melalui potongan gaji bulanan tersebut kepada YaPEIM sebagai satu “Derma” kepada pemimpin berkenaan, sedangkan sumbangan tersebut sepatutnya dibuat kepada YaPEIM untuk diuruskan dan disalurkan bagi tujuan amal jariah serta membantu umat islam yang amat memerlukan terutama sekali anak-anak yatim? Jika ya, mungkin itulah yang memupuk semangat PM dalam isu derma RM2.6 bilion.

MYKMU.net harus memainkan peranan yang penting ini dan bukannya cuba menuduh DAP seolah-olah mahu melencongkan tumpuan orang ramai.