Saya telah dalam beberapa kenyataan media menyatakan pandangan saya bahawa pihak polis tidak ada kuasa untuk mengeluarkan tawaran kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Saya juga telah menyatakan bahawa keizinan bertulis daripada Pendakwa Raya perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum tawaran kompaun boleh dikeluarkan.
DAP Perak telah menubuhkan satu pasukan guaman untuk meneliti isu ini dan membantu secara pro bono mereka yang telah dikeluarkan tawaran kompaun oleh pihak polis.
Saya ingin menegaskan bahawa pendirian saya dan juga pendirian DAP adalah agar semua pihak mesti bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memerangi penularan Covid-19 termasuk mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Walau bagaimana pun, semua pihak juga mestilah menghormati undang-undang terutamanya agensi penguatkuasaan seperti pihak polis yang telah ditugaskan untuk menegakkan pematuhan undang-undang.
Sikap tidak menghormati undang-undang yang diamalkan oleh kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) yang tidak dipilih oleh rakyat mestilah diberhentikan.
Pasukan guaman DAP Perak meneliti isu ini dan ber sependapat dengan saya bahawa polis tidak ada kuasa untuk menawarkan kompaun di bawah Akta 342 dan tawaran-tawaran yang telah dikeluarkan oleh pihak polis adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah.
Pasukan guaman DAP Perak telah menerima banyak aduan daripada orang ramai dan terperanjat dengan tawaran kompaun polis sebanyak RM1,000-00, RM10,000-00 bahkan ada yang sebanyak RM50,000-00 !
Orang ramai sangat marah dengan tawaran kompaun yang terlampau tinggi ini. Tindakan ketidakpatuhan oleh Kerajaan PN kepada undang-undang mestilah diberhentikan dengan segera.
Saya menyeru kepada pihak polis untuk menubuhkan satu jawatankuasa atau pasukan untuk mengkaji isu ini atau merujuk perkara ini kepada Peguam Negara.
Sementara itu, saya meminta pihak polis berhenti mengeluarkan tawaran kompaun di bawah Akta 342 dan mengeluarkan kenyataan media kepada mereka yang sudah menerima tawaran kompaun untuk tidak membayar mereka buat sementara waktu sehingga satu keputusan muktamad berkenaan dengan perkara ini dibuat.