Dalam satu lagi serangan terhadap kebebasan akademik di Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman diberhentikan secara paksa sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL), manakala tempoh khidmatnya sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial di universiti tersebut dikekalkan. Pemecatan Redzuan adalah ulang tayang langkah memecat ahli akademik sebagai hukuman kerana mengatakan yang benar.
Kes masuk campur Putrajaya baru-baru ini termasuklah dalam hal penggantungan pakar undang-undang perlembagaan Dr Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana mempersoalkan titah Sultan Selangor terhadap serbuan ke atas Damansara Utama Methodist Center pada bulan Oktober 2011. Aziz dinafikan keadilan dan digantung poerkhidmatannya sebelum siasatan terhadapnya selesai.
Sebagai tanda solidariti bersama Prof Redzuan, bekas timbalan menteri pengajian tinggi Dato’ Saifuddin Abdullah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai felo penyelidik utama di Universiti Malaya. Berikutan ini, Saifuddin turut mendedahkan di laman Facebook rasminya bahawa Prof Redzuan telah dipecat melalui arahan daripada pihak tertentu di dalam Kementerian Pendidikan.
Saifuddin memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau mendapat tahu tentang campurtangan kementerian tersebut sekitar dua bulan lalu apabila Prof Redzuan dipanggil oleh pihak pengurusan universiti. Redzuan dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan tidak senang hati dengannya dan beliau diminta meletakkan jawatan. Saifuddin kemudiannya mengesahkan hal ini dengan naib canselor universiti yang dihubungi Kementerian Pendidikan dan memberitahu bahawa Redzuan tidak perlu terus menjadi pengarah UMCEDEL.
DAP memuji Saifuddin di atas pendiriannya yang berprinsip bahwa pendidikan, melawan rasuah dan perpaduan tidak boleh dikompromi kerana isu-isu tersebut adalah asas dan tidak boleh dilihat dari sudut pandang kepartian. Kenyataan Saifuddin menambah kekuatan syakwasangka bahawa pemecatan Prof Redzuan daripada jawatan universitinya adalah bermotifkan politik. Kini jelas bahawa Prof Redzuan dihukum kerana bertindak secara profesional, berasaskan fakta dan kerana beliau melaksanakan tugas sebagai seorang penyelidik yang tidak berpihak kepada parti politik, dan beliau dipecat kerana penemuan beliau tidak dipersetujui kerajaan hari ini.
Walaupun Saifuddin merupakan seorang pemimpin Barisan Nasional, DAP menyokong penuh pendirian beliau untuk membela Prof Redzuan dan prinsip kebebasan akademik. DAP mengutuk kerajaan persekutuan BN atas layanan buruk dan penindasan yang semakin melampau terhadap mahasiswa dan ahli akademik.
Sejak permulaan tahun ini sahaja, tindakan disiplin telah diambil terhadap 25 orang mahasiswa atas pelbagai alasan termasuk menyertai perhimpunan awam, berdemonstrasi dengan plakad anti-TPPA dan meletakkan komen anti-GST di Facebook. Dalam pada itu, tiga orang mahasiswa tahun akhir Universiti Malaysia Sabah digantung pengajian dan dihalang menduduki peperiksaan akhir setelah berdemonstrasi di kawasan kampus menentang keputusan pihak pengurusan universiti.
Mahasiswa Malaysia di luar negara juga tidak terkecuali daripada layanan menindas pihak Kementerian Pendidikan. Jabatan Perkhidmatan Awam baru-baru ini memberi surat tunjuk sebab kepada seorang mahasiswa tahun akhir di Australian National Universiti Aslam Abdul Jalil hanya kerana menyertai forum universiti yang menampilkan Ahli Parlimen DAP Tony Pua.
Jelas sekali ‘kebebasan akademik’ tidak wujud dalam kosa kata Kementerian Pendidikan Malaysia. Undang-undang lapuk seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan Akta Institusi Pendidikan (Disiplin) 1976 mesti dimansuhkan, manakala taktik menakut-nakutkan dan menindas ahli akademik mesti dihentikan segera. Kegagalan berbuat demikian bukan hanya akan memusnahkan kebebasan akademik malah akan turut membantutkan kecemerlangan akademik institusi pengajian tinggi negara yang terus merudum, yang diperlihatkan melalui hakikat bahawa tiada satu pun universiti tempatan layak tersenarai dalam ranking Top 100 Time Higher Education 2014 bagi universiti di Asia.