Skip to content

Meminta Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed membenarkan siaran langsung siasatan ke atas kedua-dua ketua pegawai eksekutif dan bekas CEO syarikat bermasalah milik negara, 1MDB

Kami telah hantar surat kepada pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed semalam minta beliau membenarkan siaran langsung siasatan ke atas kedua-dua ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas CEO syarikat bermasalah milik negara, 1MDB.

Ini bertepatan dengan kedudukan siasatan tersebut sebagai krisis nasional, sepertimana yang disifatkan oleh tidak lain dan tidak bukan, Dato’ Seri Nazir Razak sendiri; adik kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga pengerusi kumpulan bank terbesar negara.

Siaran langsung melalui televisyen atau sekurang-kurangnya secara “livestream” melalui internet boleh dilakukan dengan memohon kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menangguhkan Aturan 85 daripada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang tidak membenarkan sebarang keterangan dan dokumen yang dikemukakan kepada mana-mana Jawatankuasa didedahkan sebelum laporan Jawatankuasa dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

Kami sesungguhnya percaya bahawa Tuan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang baru-baru ini tidak jadi berhenti dan mempunyai aspirasi tinggi untuk berlaku telus dan melakukan pembaikan parlimen akan pastinya bersetuju dengan cadangan terbabit.

Kami juga percaya bahawa semua Ahli Jawatankuasa PAC dari kedua-dua pihak parti kerajaan dan pembangkang akan menyokong cadangan kami ini, sekiranya mereka yakin bahawa tiada apa-apa yang perlu disembunyikan dalam kemelut 1MDB ini.