Saya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, supaya Perdana Menteri mengarahkan siasatan segera dijalankan ke atas ketidakpatuhan terhadap garis panduan pengurusan bantuan khas kepada keluarga B40.
Perdana Menteri merupakan pemimpin yang paling sesuai untuk mengarahkan siasatan dan mengambil tindakan serta membuat keputusan kepada perkara ini. Ketidakpatuhan garis panduan ini melibatkan banyak kawasan parlimen dan mengakibatkan ramai golongan B40 menjadi mangsa.
Garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan jelas menyatakan bahawa seramai 1000 orang ketua keluarga B40 daripada semua kawasan Parlimen akan menerima bakul makanan yang bernilai RM100. Bantuan ini selaras dengan surat daripada Kemneterian Kewangan (rujukan: KK/BPB/(26.00) 202/2/2-3 JD.6(3)) yang bertarikh 27 Mac 2020.
Garis panduan turut menggariskan tatacara perolehannya, iaitu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan mengenalpasti pembekal dan jenis barangan, dan seterusnya membeli barangan tersebut. Pejabat Ahli Parlimen pula diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan agihan dari rumah ke rumah, sambil dibantu oleh APM dan RELA.
Pada 21 April 2020, Parlimen Rasah hanya menerima 150 bakul makanan sahaja, dengan nilai setiap bakul tidak melebihi RM35.00. Baik dari segi kualiti mahupun kuantiti, bakul makanan ini amat berbeza sekali, jika dibandingkan dengan bakul makanan yang dijanjikan dalam garis panduan.
Tiada kepastian sama ada baki 850 bakul makanan akan dibekalkan atau sebaliknya, kerana pegawai JKM Daerah Seremban sendiri tidak mempunyai jawapan.
Terdapat lebih 100 ribu pengundi di Parlimen Rasah, dengan jumlah dijangka lebih 150 ribu orang. Terdapat ramai di kalangan penduduk adalah golongan B40 yang amat terkesan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai di antara mereka tidak dapat bekerja dan tiada wang simpanan yang mencukupi untuk mengharungi tempoh PKP.
Perdana Menteri memikul tanggungjawab untuk memastikan tiada penyelewengan dalam pengagihan bakul makanan ini, serta mengarahkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan.
Tindakan menghantar surat kepada Perdana Menteri ini telah dimaklumkan kepada pimpinan Pakatan Harapan.