Skip to content

Meminta YB Menteri Pengangkutan untuk memperincikan jaminan serta tindakan pihaknya bagi mengelakkan sebarang kemalangan/kecelakaan/masalah pelepasan air sisa projek KXP ke Sungai Muda serta projek ‘aerotropolis’ yang mana titik terdekat projek terletak hanya 6 kilometer dari muka sauk Lahar Tiang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Seberang Perai

Saya telah menerima salinan jawapan berhubung Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat dikemukakan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas berkait rasional cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang mana terletak begitu hampir dengan Sungai Muda. Serentak itu, saya juga meminta YB Menteri Pengangkutan untuk memperincikan jaminan serta tindakan pihaknya bagi mengelakkan sebarang kemalangan/kecelakaan/masalah pelepasan air sisa projek KXP ke Sungai Muda serta projek ‘aerotropolis’ yang mana titik terdekat projek terletak hanya 6 kilometer dari muka sauk Lahar Tiang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Seberang Perai.

Dalam jawapan yang dikongsi, beberapa fakta telah dikemukakan, iaitu:-

  1. Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa sehingga kini, tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan ‘aerodrom’ bagi projek KXP sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016;
  2. Cadangan pembinaan KXP juga adalah tertakluk kepada Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang mana penggerak projek (Kerajaan Negeri Kedah) kelak akan diminta untuk memberi maklumat kepada pasukan perunding NASP berhubung unjuran-unjuran yang realistik dan tepat;
  3. Kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan KXP hanya akan dipertimbangkan apabila kajian NASP telah disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.

Dilampirkan salinan jawapan penuh sebagai rujukan bersama:-

SOALAN NO : 22

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS

PERTANYAAN : JAWAB LISAN

DARIPADA : YB TUAN CHOW KON YEOW (TANJONG)

TARIKH : 9 NOVEMBER 2021 (SELASA)

SOALAN

TUAN CHOW KON YEOW (TANJONG) minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan rasional cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang mana terletak begitu hampir dengan Sungai Muda. Perincikan jaminan serta tindakan bagi mengelakkan sebarang kemaIangan/kecelakaan/masalah pelepasan air sisa projek KXP he Sungai Muda serta projek ‘aerotropolis’ yang mana titik terdekat projek terletak hanya 6 kilometer dari muka sauk Lahar Tiang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Seberang Perai.

SOALAN NO : 22

JAWAPAN:

Tuan Yang di Pertua,

Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dalam mesyuaratnya pada 27 Oktober 2020 hanya memberi kelulusan prinsip terhadap cadangan Projek Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). Kelulusan prinsip ini adalah tertakluk kepada permohonan mendapatkan pertimbangan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan beberapa agensi Kerajaan yang lain seperti Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan beberapa agensi Kerajaan yang lain.

Kementerian Pengangkutan ingin menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan aerodrom bagi Projek KXP sepertimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.

Selain itu, cadangan pembinaan KXP juga adalah tertakluk kepada Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang akan dimulakan pada akhir tahun 2021 bagi semua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu. Maka, penggerak projek KXP (Kerajaan Negeri Kedah) kelak akan diminta untuk memberi maklumat kepada pasukan perunding NASP berhubung unjuran-unjuran yang realistik dan tepat khususnya unjuran permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan KXP, lebih-lebih lagi dalam era pasca COVID-19, bagi menilai viability projek pembinaan KXP.

Oleh itu, kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan KXP hanya akan dipertimbangkan apabila kajian NASP telah disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain sepertimana yang dinyatakan dalam laporan-laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian lmpak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan sebagainya.

Ini bagi memastikan cadangan pembinaan lapangan terbang benar-benar viable, sustainable dan memenuhi keperluan teknikal yang ditetapkan oleh CAAM dan MAVCOM.