Dengan hormatnya saya merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Pahang YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail (https://www.facebook.com/wanrosdyOfficial/posts/2651853311697413) mengenai skim sewaan tanah baharu bagi kegunaan pertanian di Cameron Highlands yang diperkenalkan pada tahun ini:
Kadar sewaan tanah pertanian di Cameron Highlands yang ditetapkan dalam tawaran sewaan tanah baharu adalah RM4,500 seekar setahun. Berbandingkan kadar sewaan baharu dengan kadar Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan bil air yang dibiayai oleh pekebun Cameron Highlands selama ini iaitu RM884 seekar setahun, peratusan kenaikan memang mencecah 500%.
YAB menyatakan bahawa nilai RM4,500.00 setahun ini adalah termasuk cukai tanah, cukai pintu, cas penggunaan sumber air, cas alam sekitar dan cas pengurusan sisa pertanian. Walau bagaimanapun, terdapat banyak lagi kos yang bakal atau mungkin dikenakan tetapi tidak tersenarai dalam nilai RM4,500 tersebut, antaranya kos juru ukur, kos guaman, kos pensijilan myGAP, caj permohonan untuk mendirikan rumah plastic (sheltered farming) dan sebagainya.
Oleh itu, saya mengesyorkan kepada kerajaan Negeri Pahang dan Pahang Corporation Sdn. Bhd. agar menyenaraikan kesemua bayaran dan caj yang dikenakan secara terperinci (detailed cost breakdown). Dengan ini, semua pekebun Cameron Highlands boleh dimaklumkan dengan jelas jumlah kos sebenar yang perlu ditanggung setelah menandatangani tawaran sewaan tanah.
YAB menyatakan bahawa pulangan pekebun dianggarkan antara RM5,000.00 ke RM15,000.00 sebulan bagi setiap ekar tanah. Hakikatnya, sejak sekurang-kurangnya tiga tahun ini, harga hasil pertanian selalunya kekal rendah (low and stagnant), maka pulangan juga amat rendah. Harga hasil pertanian hanya akan meningkat rata-ratanya 1 atau 2 kali setahun, dan ianya amat bergantung pada nasib pekebun sendiri berdasarkan jenis hasil pertanian yang ditanam dan musim tanaman. Sesetengah pekebun yang kurang bernasib baik masih juga tidak berpeluang memperoleh pulangan yang lebih tinggi daripada biasa.
Oleh yang demikian, harga hasil pertanian yang rendah serta ketidakstabilan harga telah menambah beban para pekebun secara berterusan, terutamanya pekebun-pekebun kecil yang bercucuk tanam di tanah bersaiz kecil.
Ramai pekebun kecil yang hanya bercucuk tanam di atas tanah pertanian yang rata-ratanya bersaiz 1 hingga 2 ekar tidak akan memperoleh pulangan yang begitu lumayan sekali. Selain daripada kadar sewaan tanah iaitu RM4,500 seekar setahun serta kos tambahan lain yang diperlukan untuk mematuhi syarat sewaan tanah tersebut, para pekebun sebenarnya juga perlu menanggung kos lain yang kian meningkat seperti kos baja, kos racun serangga, kos pengangkutan, gaji pekerja dan sebagainya.
Oleh itu, kebanyakan pekebun kecil tidak mampu menanggung kadar sewaan yang meningkat secara mendadak kerana tidak mempunyai ekonomi skala. Sekiranya pekebun kecil terpaksa memberhentikan aktiviti pertanian disebabkan kos terlalu tinggi, situasi ini mungkin akan mendatangkan impak sosio-ekonomi yang besar ke atas komuniti tempatan di Cameron Highlands kerana ramai pekebun kecil akan kehilangan pendapatan.
Maka, adakah kerajaan Negeri Pahang akan menyediakan bantuan yang sewajarnya, terutamanya kepada pekebun-pekebun kecil di Cameron Highlands agar mereka mampu menanggung kos yang amat tinggi dan meneruskan aktiviti pertanian?
Tambahan pula, pelbagai jenis sektor ekonomi termasuklah sektor pertanian di Cameron Highlands turut terjejas dan terkesan akibat daripada langkah-langkah yang terpaksa diambil untuk membendung penularan wabak Covid-19. Oleh itu, Kerajaan Negeri Pahang seharusnya berprihatin terhadap cabaran dan masalah yang dihadapi oleh sektor pertanian Cameron Highlands dalam waktu kritikal ini untuk membantu para pekebun dan bersama-sama membangunkan sektor tersebut.
Dengan ini, saya sekali lagi memohon pertimbangan YAB dan kerajaan Negeri Pahang agar mendengar denyutan nadi para pekebun terutamanya pekebun-pekebun kecil, dan mengkaji semula kadar sewaan dan syarat-syarat dalam skim sewaan tanah pertanian di Cameron Highlands.
Bersama-samalah kita membantu meringankan beban para petani, memelihara mutu serta produktiviti sektor pertanian Cameron Highlands dan secara tidak langsung menjamin kelangsungan bekalan makanan di negara kita.