Kepada
Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
No. 2, Jalan P2T, Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62100 Putrajaya.
Tan Sri Dato’ Seri,
Memorandum Menambahbaik Sistem Pilihanraya Demi Memperkasakan Sistem Demokrasi Berparlimen Di Negara Kita
Suruhanjaya Pilihan Raya merupakan pihak yang mengendalikan urusan pilihanraya di Negara kita. Integriti badan SPR harus tinggi dan dihormati. Sungguhpun wujud pelbagai kontroversi di kalangan masyarakat samada pengamal atau pemerhati politik berkaitan ketelusan SPR, kami daripada DAPSY yakin bahawa SPR masih berupaya menjalankan tugasnya secara bonafide dan bebas.
1. Sebelum tahun 2013, SPR telah melantik wakil-wakil daripada parti politik baik daripada parti pemerintah atau parti pembangkang sebagai Penolong Pendaftar Sementara (PPS) dalam usaha mendaftarkan rakyat Malaysia sebagai pemilih yang sah. Hasil dari kerjasama tersebut, ratusan ribu pemilih telah berjaya didaftarkan. Ini telah meningkatkan keberkesanan dan menepati fungsi SPR.
2. Namun demikian, setelah PPS parti politik tidak lagi diperbaharui perlantikannya, kami dari pihak parti menerima banyak rungutan dari pihak awam. Hingga kini kami terus menerima aduan tersebut dari seluruh Malaysia.
3. Walaupun pihak SPR telah membuat beberapa usaha untuk mempelbagaikan kaedah pendaftaran pemilih baru seperti melantik pejabat pos sebagai ajen pendaftar pemilih dan mengadakan pelbagai program outreach. Walau bagaimana pun, orang awam masih merasa saluran yang sedia ada tidak memadai. Ramai berpendapat bahawa kaedah terdahulu masih relevan dan pihak SPR tidak sepatutnya mempunyai apa-apa masalah untuk meneruskan kaedah terdahulu iaitu melantik PPS dari kalangan wakil parti politik apatah lagi, kerjasama antara kedua-dua pihak telah terbukti berjaya dan berkesan.
Rekod Semasa Statistik Jumlah Pemilih Baru
| Kategori | ST1 2013 | ST2 2013 | ST3 2013 | ST4 2013 | ST1 2014 | ST1 2014 | ST3 2014 | ST4 2014 | ST1 2015 |
| Pendaftaran Baru | 104959 | 49789 | 18693 | 21754 | 38130 | 31998 | 31892 | 57247 | 54388 |
| Pendaftaran Tukar Alamat | 31070 | 9195 | 4297 | 6305 | 8709 | 8717 | 8306 | 11551 | 10387 |
4. Jadual di atas jelas menunjukkan kemerosotan bilangan pemilih baru yang didaftarkan sejak suku tahun ketiga 2013. Antara sebab yang mengakibatkan kemerosotan ini ialah perlantikan PPS daripada parti politik telah tamat mulai tahun 2013.
5. Oleh yang demikian, kami berharap pihak SPR dapat melantik semula PPS daripada wakil-wakil semua parti politik.
Pendaftaran Pemilih Secara Automatik
6. Masih ramai warga Malaysia yang layak mengundi tetapi belum didaftarkan sebagai pemilih. Dalam keadaan sekarang, jumlah ini akan semakin bertambah dan hak mereka sebagai warganegara akan terus dinafikan. Oleh itu, kami ingin mencadangkan supaya pendaftaran secara automatik sebagai pemilih sebaik sahaja seseorang warganegara Malaysia berumur 21 tahun.
Isu Persempadanan Semula Kawasan Pilihanraya
7. Adalah dijangkakan bahawa persempadanan semula kawasan-kawasan pilihanraya telah dijalankan dan akan dibentangkan di Parlimen dalam masa yang terdekat. Kami berharap pihak SPR dapat berpegang kepada prinsip satu orang satu undi dan setiap undi mempunyai nilai yang saksama. Persempadanan semula seharusnya menggambarkan demografi masyarakat kita yang sebenar di samping merealisasikan semangat kesaksamaan.
8. Kami mencadangkan pihak SPR supaya memberikan taklimat kepada pihak-pihak yang bekepentingan termasuk parti pembangkang sebelum persempadanan dibentangkan. Pada waktu yang sama, adalah dicadangkan juga pihak SPR menjalankan survey pendapat dan makluman balas di kalangan orang awam berkenaan proses persempadanan supaya pelaksanaan persempadanan semula dapat berlangsung dengan lebih lancar dan memenuhi kehendak masyarakat pada keseluruhannya.
9. Adalah dengan tulus ikhlas kami mengemukakan cadangan yang tersebut di atas untuk pertimbangan pihak SPR. Segala pertimbangan dan kerjasama daripada pihak SPR adalah didahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Marilah kita bersama-sama menjunjung prinsip demokrasi dan mempertahankan sistem demokrasi berparlimen Negara kita.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,