Skip to content

Memperbetulkan kecelaruan kefahaman pemimpin PAS berhubung konsep Malaysian Malaysia

Saya ingin memperbetulkan kecelaruan kefahaman pemimpin PAS berhubung konsep Malaysian Malaysia sebagaimana disiarkan dalam salah satu wawancara di portal Getaran.my yang diberi tajuk ‘Konsep Malaysian Malaysia rugikan Islam – PAS’.

Dalam wawancara itu, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin dilaporkan berkata konsep Malaysian Malaysia ditolak PAS kerana boleh mewujudkan ‘persamaan’ yang merugikan Islam, manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula dilaporkan berkata, walaupun konsep Malaysian Malaysia dilihat ‘cantik’, ia tidak realistik dan tidak sesuai dengan Malaysia. Beliau memberikan contoh bahawa orang bukan Islam sudah sedia lebih maju berbanding orang Melayu Islam.

Sebelum saya mengulas lanjut, ingin saya nyatakan bahawa kenyataan pemimpin PAS ini jelas merupakan sebuah hipokrasi terang-terangan. Mengapa demikian? Adakah PAS lupa bagaimana suatu ketika dahulu mereka ‘menghalalkan’ kerjasama bersama DAP dalam Pakatan Rakyat? Apabila sudah tidak bersama PR, berubah pula pendirian mereka. Masa bersama guna dalil-dalil agama, masa berpisah juga guna dalil. Gelagat PAS ini sudah jelas menggambarkan mereka tidak tetap pendirian dan menunggang agama. Mereka harus muhasabah diri.

Konsep Malaysian Malaysia bukanlah perkara baharu malah ia selaras dan sesuai dengan semangat Perlembagaan Malaysia dan masyarakat majmuk negara kita.

Konsep Malaysian Malaysia tidak menyentuh kedudukan Raja Raja atau Istana atau keistimewaan orang Melayu yang jelas dijamin Perlembagaan malah akan mengukuhkan lagi kesefahaman dan perpaduan rakyat segenap lapisan.

Jika kita amati dasar-dasar dan slogan kerajaan sebelum ini seperri Satu Bangsa Satu Negara, 1Malaysia dan yang terbaru ialah dasar Keluarga Malaysia, semua slogan dan dasar ini bertujuan menyatukan rakyat. Begitu juga dengan dasar Malaysian Malaysia malah DAP konsisten memperjuangkan seluruh rakyat khususnya segmen masyarakat yang terpinggir dan tertindas. Mungkin kerana DAP tak pernah berubah pada dasar ini, maka pelbagai fitnah dan prasangka buruk ditabur. Rakyat disuap dengan fitnah yang diulang-ulang.

Apa yang diperjuangkan DAP adalah jelas. DAP berjuang untuk semua kaum. DAP sepanjang rekod perjuangannya lantang mengkritik sistem yang menindas dan membela masyarakat yang terpinggir.

Sebagai contoh semua hal ehwal masyarakat Orang Asli di Semenanjung semua perlu melalui JAKOA tetapi kenapa ini tidak pula berlaku kpd kaum bumiputra di Sabah dan Sarawak? Satu lagi contoh, anak-anak kaum lain selain Melayu sukar memperoleh biasiswa atau memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam atau peluang bekerja dalam sektor awam. Bukankah lebih baik jika jurang ini dapat ditambah baik? Kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang memayungi seluruh rakyat yang taat dan setia. Rakyat yang beragama bukan Islam yang setia, tidak mengkianati negara amat wajar, berhak mendapat peluang ini.

Kita menyaksikan lebih 60 tahun UMNO memerintah dihiasi dengan segala slogannya yang gah membela bangsa agama, tapi mengapa masih ramai orang Melayu ketinggalan dan miskin berbanding masyarakat bukan Melayu?

Apa yang pasti, selain usahawan Melayu berjaya yang gigih, satu lagi kelompok Melayu yang kaya raya ialah pemimpin-pemimpin UMNO yang bergelumamg dengan pelbagai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah. Mereka meraih kuasa dengan menabur fitnah dan benih kebencian kepada kaum lain. Mereka menggunakan helah, menarik simpati orang Melayu melalui pelbagai pelencongan fakta antaranya menunggang isu ICERD yang maksudnya pun mereka tak faham. Kita ambil contoh di mana rakyat Palastin di tekan dan ditimdas, mereka berjuang menuntut pembebasan tanah-tanah mereka, mereka bangkit melawan kezaliman dan diskriminasi. ICERD itulah mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum.

PAS dan parti seangkatannya mendakwa pemerintahan 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan memberi kesan tidak baik kepada orang Melayu. Adakah mereka memejamkan mata terhadap apa yang kerajaan pimpinan mereka lakukan? Judi bertambah, pertandingan bina badan wanita pun wujud, di Kelantan tiada panggung wayang tapi di Kedah ada pulak, semuanya bercelaru.

Selain itu, indeks persepsi rasuah meningkat tahun 2019 pada tangga ke 51,tahun 2020 naik ke tangga 57. FDI menurun dan export barangan buatan negara juga menurun. Bagi PAS, mengekalkan jawatan itu penting berbanding pelaksanaan dasar-dasar yang dilaung-laungkan dahulu.