Pemimpin PAS terus tanpa segan mengikuti jejak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengeluarkan kenyataan umum mempertikaikan kedaulatan negeri Pulau Pinang. Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Ahmad Yahya malah menyatakan dalam Parlimen yang kedaulatan negeri itu berasal dari Kedah.
Ini ialah cabaran dan penghinaan terbuka terhadap keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang membentuk, menghidupkan dan kuasa undang-undang kepada Kedah sebagai salah satu dari 13 negeri dan wilayah berdaulat yang dinyatakan dalam Artikel 1(12) Perlembagaan Persekutuan. Sanusi kemudiannya dilaporkan meragui kedaulatan Pulau Pinang sebagai negeri ‘pajakan’ dan mahu bayaran ‘pajak’ yang lebih tinggi dari Putrajaya.
Sanusi bebas untuk meminta bayaran yang lebih tinggi tetapi jangan melampau dan cuai sehingga permintaannya dilihat mencabar kedaulatan negeri Pulau Pinang seterusnya merendahkan Perlembagaan Persekutuan. Sanusi patut menjelaskan kenapa beliau tidak membuat tuntutan ini kepada Putrajaya ketika PN memerintah dari 2020-2022.
Mempertikaikan kedaulatan sesebuah negeri seperti Pulau Pinang ialah pelanggaran serius terhadap Perlembagaan Persekutuan dan kuasa yang diberikan kepadanya. Ini termasuk mempertikaikan kuasa, dan budi bicara yang Duli Yang Maha Mulia Dipertuan Agong. Pemimpin PAS kini terlalu berani dan yakin yang kejayaan ‘gelombang hijau’ sehingga berani mencabar Perlembagaan Persekutuan.
Kepada yang masih belum dapat faham betapa beratnya tindakan mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang, ia mirip mempertikaikan kerakyatan seorang warganegara Malaysia. Mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang, tiada bezanya mempertikaikan hak Pulau Pinang untuk wujud, berfungsi dan beroperasi sebagai sebuah negeri yang demokratik dibawah Perlembagaan Persekutuan.
Demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia, ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer telah membuat laporan polis terhadap Sanusi. Jika beliau gagal menarik balik kenyataan dan meminta maaf atas kenyataan yang telah mengguris perasaan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang, tindakan lanjut akan diambil.