Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) gagal memikul tugas dan tanggungjawab berkanunnya sebagai badan kawal selia perkhidmatan air negara yang bebas dengan mengambil pendirian politik dan bukannya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan dokumen undang-undang mengenai hak-hak riparian. SPAN melihat tidak ada apa yang salah dalam rancangan Kedah untuk membina kawasan simpanan air di sepanjang Sungai Muda, walaupun SPAN mengakui 14 tangki, dengan kedalaman 20m-30m dan selebar satu kilometer, akan “menekan” bekalan air apabila Sungai Muda sampai di Pulau Pinang.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, ketika mengumumkan projek itu, dengan sombongnya mengatakan kepada Pulau Pinang supaya “bersedia” untuk minum air selut jika enggan memberi ganti rugi kepada Kedah bagi mendapatkan air dari sungai. Bagaimanakah SPAN dapat terus berfungsi sebagai badan kawal selia perkhidmatan air negara apabila mereka boleh membiarkan atau tidak akan campur tangan untuk mengelakkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang meminum air selut?
Jelas bahawa Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Man bersekongkol dengan kelompok PASnya untuk membantu Muhammad Sanusi untuk “memeras” wang dari Pulau Pinang dengan projek Kerajaan Persekutuan ini, walaupun kosnya masih belum ditentukan.
Pulau Pinang mempunyai segala hak undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil air dari sungai yang mengalir ke sempadannya, yang membekalkan 80% keperluan air kepada 1.8 juta orang rakyat Pulau Pinang.
Jadual Kesembilan (Daftar Perundangan) menyenaraikan air, pengawalan kelodak dan hak-hak riparian sebagai perkara di bawah kuasa Negeri. Pulau Pinang akan mengheret kedua-dua Kerajaan Kedah dan Kerajaan Persekutuan ke mahkamah kerana melanggar hak perlembagaan dan hak riparian Pulau Pinang dengan menjalankan projek yang memaksa orang Pulau Pinang untuk “minum air selut”.
Muhammad harus menghentikan taktik buli seperti ini, kerana membayar air yang diambil di sempadan Pulau Pinang adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. Pertama, pelbagai perjanjian antara kedua-dua negeri dan juga Undang-Undang Kedah dan Pulau Pinang (Perubahan Sempadan) 1985 telah memuktamadkan sempadan yang telah diubah antara kedua-dua negeri utara.
Kedua, pemilik riparian, sama ada pemilik tanah atau negeri seperti Pulau Pinang, memiliki hak yang tidak boleh dinafikan untuk menggunakan dan mengekstrak dari Sungai Muda ketika ia mengalir di dalam sempadan Pulau Pinang, di mana aliran sungai tidak boleh dimanipulasi, diubah atau dijajar semula secara tidak semula jadi. Pulau Pinang berhak menerima aliran air semula jadi dalam kuantiti dan kualiti yang biasa.
Sebarang gangguan yang membawa kepada pencemaran, atau menjejaskan kuantiti dan kualiti air akan membolehkan Pulau Pinang sebagai pemilik riparian menuntut ganti rugi. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan DAP akan mempertahankan sekeras-kerasnya hak Pulau Pinang untuk air bersih dan bukannya air selut.
Selama 64 tahun sebelum ini, tidak ada Kerajaan Persekutuan yang bersekongkol dengan kerajaan negeri lain untuk mengancam penduduk negeri lain dengan meminum air selut. Ini boleh memecah-belahkan rakyat dan secara tidak perlu menimbulkan kebencian dan membakar sentimen di kalangan rakyat. Kedua-dua Kabinet PN dan PAS tidak peduli dan tidak bertanggungjawab sehingga mengorbankan hak dan kewajiban Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk modal dan kepentingan politik.