Skip to content

Menambahbaik prosiding PAC Parlimen dengan memendekkan tempoh masa yang diberikan kepada semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan memberikan maklum balas

PAC Parlimen telah memutuskan untuk menambahbaik prosiding PAC Parlimen dengan memendekkan tempoh masa yang diberikan kepada semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa ini, daripada tiga bulan kepada dua bulan. Keputusan itu dicapai dalam perbincangan khas yang diadakan bagi memantapkan lagi peranan serta tanggungjawab Jawatankuasa ini.

Pemendekan tempoh masa itu bertujuan memastikan supaya setiap syor yang diberikan Jawatankuasa ini dalam laporannya mendapat perhatian yang serius dan segera daripada semua Pegawai Pengawal, iaitu Ketua Setiausaha (KSU).

Selain memendekkan tempoh masa berkenaan, semua KSU juga perlu memberikan laporan interim secara bertulis kepada PAC Parlimen mengenai tindakan yang sudah diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan Jawatankuasa ini dalam tempoh sebulan, manakala pada bulan kedua, semua KSU terbabit perlu hadir di hadapan PAC Parlimen untuk membentangkan maklum balas terkini.

Sebelum ini, semua KSU diberikan masa selama tiga bulan untuk memberikan maklum balas kepada PAC Parlimen dengan hadir di hadapan Jawatankuasa ini dan membentangkan tindakan yang sudah diambil.

Penambahbaikan terhadap mesyuarat maklum balas itu membolehkan PAC Parlimen memantau dan Rakyat mengetahui tindakan-tindakan susulan yang telah diambil oleh Kerajaan terhadap syor-syor yang dikemukakan oleh PAC Parlimen dalam setiap laporannya.

Sejak PAC Parlimen memulakan mesyuaratnya pada 3 November lalu, Jawatankuasa ini sudah mengadakan 25 mesyuarat serta taklimat dan membentangkan empat laporannya serta satu laporan maklum balas daripada Kementerian seperti berikut:-

  1. Laporan PAC berhubung Pengurusan Projek Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis;
  2. Laporan PAC berhubung Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP);
  3. Laporan PAC berhubung Penjualan Tanah Milik Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL);
  4. Laporan PAC berhubung Aktiviti Kawalan Terhadap Pekerja Asing; dan
  5. Laporan Tindakan Susulan Kementerian Kewangan bagi syor-syor Laporan PAC Parlimen berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Berjumlah RM19.4 Bilion.

Jawatankuasa ini dijangka mengadakan 10 lagi mesyuarat serta akan membentangkan empat lagi laporan iaitu:

  1. Laporan PAC berhubung Education Malaysia Global Services (EMGS);
  2. Laporan Tindakan Susulan Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi syor-syor Laporan PAC Parlimen berhubung Pengurusan Subsidi Gas Cecair (LPG);
  3. Laporan Tindakan Susulan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi syor-syor Laporan PAC Parlimen berhubung Pembangunan Air Mobility; dan
  4. Laporan Tindakan Susulan Kementerian Kewangan dan Khazanah Nasional bagi syor-syor Laporan PAC Parlimen berhubung Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional

Orang ramai boleh mengakses semua laporan PAC Parlimen yang dibentangkan di Dewan Rakyat di laman web rasmi Jawatankuasa ini di www.parlimen.gov.my/pac.