Taktik yang biasa digunakan oleh pemimpin UMNO adalah tipu dan menuduh tanpa asas. Ini sekali lagi jelas dibuktikan dengan kenyataan Nor Omah ketika merasmikan penutupan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Paya Besar di Kuantan malam tadi. Beliau telah mengatakan bahawa Umno dan BN kini diperlakukan seperti ‘pengemis’ di bumi Selangor walaupun kemajuan dan pembangunan yang ada di negeri itu dilakukan semasa BN menjadi pentadbir di negeri itu.
Saya ingin mencabar Nor Omah supaya mengeluarkan bukti menunjukkan mereka tidak dibenarkan untuk menggunakan dewan dan balai raya di Selangor. Kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan sistem pentadbiran yang telus dan adil. Sesiapapun boleh menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan asalkan permohonan dibuat mengikut prosedur dan bayaran sewa dibayar.
Walau bagaimanapun, saya ingin mencadangkankan kepada Nor Omah supaya rujuk kepada rakan-rakan beliau di negeri-negeri di bawah pentadbiran BN adakah mereka membenarkan parti pembangkang menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut walaupun sanggup bayar sewa dan mengikut prosedur sewaan. Tanyalah pada Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dewan orang ramai di dalam Kuala Lumpur yang mana satu pernah disewa oleh parti pembangkang ataupun balai raya yang mana DBKL bersedia untuk disewakan kepada parti pembangkang. Sebaliknya, parti-parti komponen BN telah menyalahguna dewan-dewan dan balai raya yang dibina oleh Pihak Berkuasa Tempatan dengan menggunakan duit rakyat untuk kegunaan parti politik masing-masing. Tidak ada sesiapapun boleh menggunakannya untuk tujuan serta kepentingan peribadi mahupun parti politik kerana ia semua dibina dengan menggunakan duit rakyat tanpa kira siapa yang membinanya. Mungkin kerana mengamalkan sikap sedemikian, ahli-ahli UMNO dan parti komponen BN yang lain berdiam diri serta sanggup bersubahat apabila mengetahui sejumlah RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
Beliau sepatutnya memperbetulkan perkara ini dan bukan membuat tuduhan tanpa asas terhadap kerajaan Selangor. Beliau sepatutnya mengarahkan semua cawangan UMNO dan parti komponen BN yang masih mengguanakan balai raya dan dewan orang ramai sebagai pejabat serta pusat khidmat untuk menyerahkan semula kemudahan tersebut kepada Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.