Skip to content

Mencadangkan agar pelan pengurusan trafik disediakan semasa tempoh pembinaan Lebuhraya Kuching – Samarahan

Saya mencadangkan supaya JKR Sarawak mengadakan mesyuarat khas bersama dengan kontraktor utama dan sub – kontraktor berkenaan dengan isu Lebuhraya Kuching – Samarahan. Mereka harus memberikan pelan perancangan yang teratur khususnya yang berkait rapat dengan pengurusan trafik semasa tempoh pembinaan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas akibat daripada pembinaan projek tersebut.

JKR Sarawak yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Sarawak hendaklah peka, peduli dan memantau dengan lebih dekat lagi keupayaan dan gerak kerja kontraktor khususnya perkara yang berkait rapat dengan pengurusan trafik semasa projek dijalankan.

Kesesakan lalu lintas memang dijangkakan akan berlaku sepanjang projek dijalankan. Namun demikian, perkara ini dapat dielakkan sekiranya pra – perancangan awal jalan alternatif telah disediakan terlebih dahulu dan dikemaskini dari masa ke semasa mengikut kemajuan pelaksanaan projek. Pegawai trafik harus juga ditugaskan bagi mengawal keadaan kesesakkan jalan raya.

Perkara sebegini seharusnya sudah dimasukkan di dalam pelan perancangan pada permulaan projek dijalankan. Pelan pengurusan trafik dan laluan alternatif yang diikuti dengan tatacara pembinaan adalah termasuk menggerakkan proses pembinaan jalan di luar waktu kemuncak harus dilaksanakan oleh kontraktor. Perkara ini harus dipertanggungjawabkan ke atas kontraktor sebelum pembinaan jalan bermula.

Amat mengecewaka apabila menerima maklumbalas daripada Menteri bahawa kerja pembinaan telah diberhentikan semasa Krismas dan Tahun Baru.

Tempoh tersebut merupakan waktu terbaik bagi melaksanakan kerja utama dan berat di sekitar kawasan pembinaan kerana kurangnya lalu lintas trafik pada waktu cuti dan tiada keperluan mendesak untuk turun bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar pelan pengurusan trafik disediakan dengan membina laluan alternatif sementara semasa projek pembinaan dilakukan pada masa kini.

Mereka tidak harus hanya sekadar meminta pengguna jalan raya untuk bersabar tetapi tidak memberikan apa – apa solusi kepada mereka.

Jadual tempoh masa kemajuan projek harus dihebahkan kepada umum secara berkala bagi membolehkan rakyat sentiasa sedar dan melakukan persediaan yang sepatutnya dan seterusnya memantau perjalanan projek agar disiapkan mengikut perancangan dan tiada lagi penangguhan dilakukan.