Skip to content

Mencadangkan supaya pihak kementerian mengambil tindakan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan sedia ada terhadap mereka yang gagal mempamerkan notis caj perkhidmatan

Seminggu selepas pelaksanaan cukai 6% GST, banyak rungutan telah kita dengar tentang kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Malah ramai antara kita yang sudah mula memeriksa resit bayaran masing-masing dan melihat caj-caj tambahan yang mereka rasakan tidak wajar, seperti caj perkhidmatan yang dikenakan oleh restoran, hotel dan yang seumpamanya.

Untuk menangani permasalahan ini, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad telah dilaporkan berkata bahawa pihak Kementerian akan mengambil tindakan terhadap premis yang mengenakan caj perkhidmatan tanpa mempunyai perjanjian bersama dengan pekerjanya. (http://www.thesundaily.my/node/303528)

Beliau turut berkata bahawa premis yang mengenakan caj perkhidmatan, di samping mengenakan caj GST 6% mestilah mempamerkan notis kepada pelanggan.

Sebenarnya ini adalah satu lagi taktik untuk mengalihkan perhatian orang ramai yang ketika ini masih bergelut dan marah dengan kesan daripada pelaksanaan cukai GST 6%. Mereka bukannya marah sangat dengan caj perkhidmatan memandangkan hal tersebut bukanlah sesuatu yang baru.

Tidak wajar untuk menyalahkan premis yang sudah sekian lama mengenakan caj perkhidmatan, sedangkan masalah yang sebenar ialah pelaksanaan GST yang kalut dan serabut.

Sementara saya bersetuju dengan cadangan supaya premis yang mengenakan caj perkhidmatan mempamerkan notis bahawa mereka berbuat demikian, saya harus mempersoalkan sama ada mereka yang gagal berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan atau Akta Perlindungan Pengguna? Kerana bagi saya kedua-dua akta ini tidak boleh dipakai untuk mengambil tindakan terhadap premis yang mengenakan caj perkhidmatan tanpa mempunyai perjanjian bersama dengan pekerjanya melainkan sekiranya satu akta baru digubal.

Saya mencadangkan supaya pihak kementerian mengambil tindakan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan sedia ada yang mewajibkan peniaga mempamerkan tanda harga terhadap mereka yang gagal mempamerkan notis caj perkhidmatan. Pengguna berhak diberi maklum tentang caj yang mereka kenakan sebelum membuat keputusan untuk menjadi pelanggan mereka.

Pokoknya kerajaan sewajarnya memikirkan cara untuk meringankan beban yang ditanggung oleh pengguna pasca pelaksanaan GST, dan bukannya baru hendak kecoh-kecoh tentang caj perkhidmatan.