Skip to content

Mendesak Kerajaan Datuk Seri Najib Razak bersimpati dengan rakyat yang sakit dan yang kurang sihat

Pada 25 Oktober 2016, saya telah membangkitkan persoalan berkenaan dengan isu penggantungan ujian lab dan kekurangan bekalan perubatan di beberapa buah hospital dalam negara kita.

Soalan tersebut telahpun dijawab oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Haji Yahaya di Parlimen, yang menyatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menafikan bahawa situasi pemotongan bajet sebanyak RM280 juta dan juga pertambahan pesakit sebanyak 8% sejak Januari sehingga Mei tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan yang menyatakan ianya merupakan satu cabaran yang besar untuk mengekalkan perkhidmatan yang sama seperti tahun lalu dan terbaik diberikan kepada pesakit.

Keadaan kekurangan peruntukan dan bekalan reagen yang terhad ini telah menyebabkan beberapa buah hospital terutamanya Negeri Selangor dan Johor mengambil inisiatif memberhentikan secara sementara beberapa ujian makmalnya kerana kedua-dua negeri ini mempunyai lebih banyak Hospital Berpakar yang turut berperanan sebagai hospital rujukan samaada dari aspek perkhidmatan perubatan dan juga ujian-ujian makmal.

Selain itu, sebilangan kecil hospital-hospital di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Periis, Pulau Pinang dan Kedah telah memberhentikan beberapa ujian makmal.

Hanya hospital-hospital di negeri Melaka, Perak, Sabah dan Sarawak yang tidak mengalami masalah ujian-ujian yang diberhentikan.

Untuk memburukkan lagi keadaan ini, Perdana Menteri baru sahaja mengumumkan Malaysia akan membeli 4 buah kapal tempur pesisir daripada China dengan kos RM300 juta setiap unit. Ini bermakna jumlah kos terlibat adalah RM1.2 bilion.

Sejumlah RM5.7 billion telah dibelanjakan untuk bekalan ubat, barang guna habis, vaksin dan reagents untuk semua hospital dan klinik kerajaan (Laporan Ekonomi 2017).

Sekiranya duit untuk pembelian kapal tempur pesisir tersebut boleh digunakan untuk pesakit, sudah tentu hospital kerajaan tidak akan menghadapi masalah kesuntukan wang untuk membeli reagen untuk pesakit kita sejak hujung September!

Oleh sebab itu, saya mendesak Kerajaan Datuk Seri Najib Razak bersimpati dengan rakyat yang sakit dan yang kurang sihat. Kesihatan dan kesejahteraan rakyat jelata haruslah diberi keutamaan.