Skip to content

Mendesak Kerajaan Hentikan Amalan Kos Tambahan Tiga Puluh Peratus oleh Kontraktor

1. Dalam perbahasan Parlimen mengenai “Laporan Ketua Audit Negara 2/2024” saya telah meminta kerajaan untuk memperbaiki prosedur pelantikan kontraktor dan menamatkan amalan kontraktor menambah kos tiga puluh peratus di atas harga pasaran.

2. Minggu lepas, Parlimen meluluskan “RUU Audit (Pindaan) 2024”, yang memperluas tugas dan kuasa Ketua Audit Negara. Pindaan ini memberi Ketua Audit Negara kuasa untuk menyiasat dan memeriksa mana-mana badan yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016, termasuk syarikat yang menerima jaminan kewangan daripada kerajaan persekutuan atau negeri. Ini adalah satu isyarat yang kuat bahawa tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika ada penyalahgunaan kuasa.

3. Dalam perbahasan di Parlimen, saya menyatakan bahawa Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun mengenalpasti kecuaian, kelemahan, dan kerugian di pelbagai agensi kerajaan. Walaupun laporan mengandungi cadangaan, tidak semestinya ia akan diterima atau dilaksanakan. Tambahan pula, Laporan Ketua Audit Negara tidak mengemaskini kemajuan terkini dalam memperbaiki isu-isu yang dibangkitkan pada tahun-tahun sebelumnya. Ini menyebabkan rakyat tidak yakin bahawa kerajaan benar-benar komited dalam melawan rasuah.

4. Ada pengundi memberitahu saya bahawa apabila beliau mengetahui laporan terbaru mendedahkan penyalahgunaan dana, kehilangan, dan pelanggaran di agensi kerajaan, perasaan marah beliau pada mulanya telah berubah menjadi kekecewaan. Kerajaan terpaksa menyusun semula subsidi dan menaikkan cukai kerana tekanan kewangan negara, namun terdapat juga agensi kerajaan yang didapati menyalahgunakan dan membazirkan dana awam, akhirnya rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung akibatnya.

5. Dalam perbahasan di Parlimen, saya juga menyatakan bahawa laporan terdahulu telah menunjukkan harga barang yang dibeli melebihi harga pasaran. Saya sendiri mengalami pengalaman serupa. Saya pernah memberi peruntukan sebanyak RM1,700 untuk membeli peralatan pejabat bagi sebuah sekolah, tetapi nilai peralatan yang diterima oleh sekolah itu tidak melebihi satu perlima nilai pasaran. Pada tahun lepas, saya juga memberi peruntukan sebanyak RM230,000 kepada sebuah agensi Kerajaan di Kawasan Bakri untuk membeli sebuah kenderaan 4×4 bernilai RM187,000 dan peralatan lain bernilai RM40,000. Kontraktor kemudian memberitahu ketua agensi kerajaan tersebut bahawa peruntukan sebanyak RM230,000 tidak mencukupi untuk membeli kesemua barangan yang dikehendaki.

6. Saya meminta kerajaan supaya menamatkan amalan kontraktor menambah kos tiga puluh peratus di atas harga pasaran. Kontraktor telah untung apabila membekalkan barangan mengikut harga pasaran, dan kerajaan tidak harus membenarkan tambahan tiga puluh peratus atas harga barangan. Saya juga menuntut agar kerajaan memperbaiki prosedur pelantikan kontraktor, memastikan semua kontraktor yang dilantik mempunyai kemampuan untuk membekalkan barangan dengan harga berpatutan.

7. Saya berpendapat bahawa ini adalah satu kerugian yang besar. Jika tiga puluh peratus daripada peruntukan sebanyak RM3.5 juta yang diberikan kepada setiap ahli Parlimen setiap tahun dibelanjakan sebagai untung buta kepada kontraktor, kita akan mengalami kerugian melebihi RM200 juta setiap tahun. Jumlah ini boleh digunakan untuk melaksanakan banyak program yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia.

8. Kita perlu mengambil langkah yang lebih tegas untuk menamatkan pembaziran dan penyalahgunaan dana awam, memastikan setiap sen dana digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membangun infrastruktur negara, bukannya hilang dengan amalan yang tidak wajar.