Skip to content

Mendesak Kerajaan untuk melanjutkan tempoh permohonan BPN

Saya mendesak Kerajaan untuk melanjutkan tempoh permohonan untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga sebulan selepas akhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demi memberikan peluang yang mencukupi kepada individu yang tidak mampu atau tidak berjaya membuat permohonan dengan sendiri.

Dengan pengumuman kerajaan bahawa PKP dilanjutkan sehingga 28 April 2020 serta ketidakpastian sama ada ia akan dilanjutkan lagi, Pusat Khidmat Ahli Parlimen dan ADUN belum lagi boleh dibuka untuk memberi perkhidmatan yang efektif kepada orang ramai pada tempoh ini, khasnya dalam usaha untuk membantu dalam pendaftaran BPN.

Daripada permohonan dan pengemaskinian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini, sememangnya ramai akan menghadapi kekeliruan dan masalah dalam permohonan atau rayuan mereka. Keadaan yang sama turut berlaku apabila pada masa kini dan pihak Wakil Rakyat memerlukan satu sistem yang lebih menyeluruh dalam mencapai mereka yang memerlukan bantuan dengan suatu tempoh masa yang dilanjutkan selepas PKP.

Saya berasa bimbang memandangkan tarikh tutup terkini untuk membuat permohonan BPN adalah 30 April 2020 dan sekiranya tempoh permohonan tidak dilanjutkan, maka ramai yang belum berjaya memohon atas mana-mana sebab mungkin tidak mendapat bantuan. Sekiranya PKP berakhir pada 2 Mei, sudah pastinya ramai akan membanjiri LHDN dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen dan ADUN dalam masa baki 2 hari permohonan dan perhimpunan orang ramai sebegitu sudah pasti sesuatu keadaan yang tidak harus berlaku.

Untuk membantu rakyat yang perlu membuat permohonan BPN, saya telah bersama-sama dengan Jenny Choy (ADUN Canning) dan kakitangan pusat khidmat mengadakan satu sesi “Stesen Khidmat Atas Facebook” bagi menjawab soalan atas talian daripada warga Ipoh. Sesi ini telah berlangsung selama 1 jam 50 minit dan isu lain seperti penangguhan pinjaman bank dan pembaharuan lesen pemandu serta cukai jalan juga dibincangkan.

Sememangnya terdapat kelemahan dalam sistem penyemakan dan permohonan BPN yang menyebabkan ramai yang keliru. Rekod permohonan sesetengah orang masih tidak ditunjukkan walaupun telah dikemukakan beberapa kali, dan kekurangan tindak balas daripada pihak LHDN menyebabkan pemohon-pemohon tersebut berasa amat cemas.