Pada Disember tahun 2021, telah berlaku banjir besar di kebanyakan tempat di Malaysia. Kawasan saya, DUN Dusun Tua yang merangkumi keseluruhan Mukim Hulu Langat antara yang teruk terjejas akibat daripada banjir.
Antara bantuan kerajaan Persekutuan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri adalah bantuan tunai sebanyak RM2,500 kepada mangsa bagi membantu pembelian peralatan rumah.
Seperti yang dipetik media, Dato’ Sri Ismail Sabri menyatakan bahawa sumbangan akan diagihkan bermula 10 Januari 2022. Kami telah menghubungi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bertanyakan berkenaan kaedah dan pelaksanaan bantuan ini. Maklumat yang kami perolehi, ICU akan menghubungi sendiri mangsa banjir untuk mendapatkan nombor akaun bank. Kemudian bantuan akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mangsa banjir lebih kurang dua hingga tiga minggu selepas pihak ICU menerima nombor akaun bank mereka.
Namun, di kawasan Hulu Langat, sebahagian besar penduduk yang terjejas oleh banjir besar sehingga hari ini masih belum menerima bantuan berkenaan. Sebahagiannya telah diambil nombor akaun bank mereka hampir sebulan lalu, tetapi masih belum menerima bantuan berkenaan. Sebahagian lagi langsung tidak dihubungi oleh pihak ICU untuk mendapatkan maklumat nombor akaun bank mereka.
Sedangkan pada 29hb Januari 2022 yang lalu, media melaporkan penduduk Bera, Pahang telah pun menerima bantuan tunai RM2,500 mereka. Apakah mangsa banjir di Hulu Langat darjatnya tidak setara dengan mangsa di kawasan Parlimen Dato’ Sri Ismail Sabri? Sampai bilakah mangsa banjir Hulu Langat harus menunggu bantuan ini?
Ramai di kalangan mangsa mengharapkan akan menerima bantuan ini segera. Ada yang sudah membeli peralatan rumah dengan tanggapan akan menerima bantuan itu sepantas mereka menerima Bantuan Selangor Bangkit. Akan tetapi mereka kini kecewa dan tersepit akibat kekurangan tunai untuk membayar yuran sekolah atau perbelanjaan lain, berpunca daripada kelewatan melampau kerajaan Persekutuan melunaskan janji YAB Perdana Menteri.
Saya mewakili mangsa-mangsa banjir yang masih belum menerima bantuan tunai RM2,500 yang dijanjikan itu mendesak agar Perdana Menteri segera melunaskan janji beliau.