Memetik berita yang disiarkan dalam akhbar Daily Express bertarikh 7 Ogos 2020, saya ingin menegur Yong Teck Lee untuk tidak menangguk di air yang keruh ketika Sabah sedang diambang Pilihanraya untuk meraih publisiti kerana Yong dan SAPP sebelum ini tidak pernah mengambil kesah isu empangan Kaiduan atau empangan Papar sebelum ini.
Saya berterima kasih kepada Yong kerana minat beliau terhadap isu ini yang bagi saya, satu isu yang penting untuk kita bahaskan kerana ia melibatkan pelaburan yang besar dan membabitkan masa depan Sabah khasnya pembangunan di kawasan Kota Kinabalu serta Pantai Barat Sabah.
Isu bekalan air di Sabah khasnya di Kota Kinabalu memerlukan pendekatan yang lebih holistik, mampan dan mesra alam, itu sebabnya saya sebagai seorang aktivis Orang Asal dan alam sekitar telah membawa persoalan persoalan ini ke Dewan Negara yang telah dipetik oleh Yong.
Saya juga ingin menegaskan bahawa isu empangan bukanlah satu isu politik tetapi lebih kepada isu dasar dan pentadbiran yang memerlukan proses perancangan yang teliti. Saya percaya dengan undang-undang yang sedia seperti EIA dan Ordinan Tanah Sabah cukup untuk memastikan semua pemegang taruh dan aspek alam sekitar akan diambil kira sepenuhnya oleh kerajaan negeri dalam membuat keputusan.
Saya telah memohon penjelasan dari Kerajaan negeri tentang isu ini, namun setakat ini saya tidak mendapat apa-apa maklumbalas tentang sebarang keputusan yang rasmi untuk membina empangan ini sungguh pun Datuk Peter Anthony mantan Menteri pembangunan dan infrastruktur pada masa lalu telah membuat kenyataan media berberapa kali berkenaan rancangan tersebut. Jestru tudahan yang dilemparkan oleh Yong kepada Darell serta Kerajaan Negeri Sabah pimpinan DS Shafie Apdal adalah tidak berasas.
Saya bersolidariti Bersama dengan Task Force Against Kaiduan Dam (TAKAD) dan komuniti yang membantah projek empangan ini. Kami menolak rancangan pembinaan empagan Kaiduan/Papar sebagai pilihan untuk bekalan air Kota Kinabalu. Kami terus akan berjuang untuk memastikan kerajaan Negeri akan memilih alternative yang lebih mampan dan mesra alam seperti yang telah di syorkan oleh Prof Dr Felix Tongkul sebelum ini.