Skip to content

Menempuhi cabaran bersama, mengembalikan harapan rakyat

16 bulan telah berlalu sejak Pilihanraya Umum yang ke-13 yang mencatatkan rekod dan membuka lembaran baru dalam sejarah politik Malaysia dimana buat julung kalinya, sebuah gabungan parti politik iaitu Pakatan Rakyat berjaya menjadi alternatif kepada Barisan Nasional dengan mendapat sokongan 52% undi popular. Kejayaan ini merupakan manifestasi harapan rakyat Malaysia untuk perubahan kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Namun, sistem persempadanan kawasan pilihanraya yang tidak adil menyebabkan Pakatan Rakyat dinafikan mandat untuk menduduki Putrajaya walaupun mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia. Pelbagai cabaran dan masalah telah ditempuhi oleh DAP dan Pakatan Rakyat dalam tempoh 16 bulan yang lalu. Isu-isu yang timbul sekiranya tidak diuruskan dengan bijaksana, sudah tentu akan memecahkan perpaduan dalaman parti DAP dan hubungan kerjasama di antara parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat. Saya menggariskan tiga cabaran utama dalam tempoh 16 bulan ini seperti berikut:

  1. Tindakan ROS untuk mempertikaikan kepimpinan pusat DAP
  2. Krisis pertukaran Menteri Besar Selangor
  3. Cadangan PAS untuk membawa Rang Undang-undang Persendirian berkenaan pelaksanaan hudud di Kelantan

DAP vs ROS

Tindakan ROS untuk mempertikaikan dan tidak mengiktiraf kepimpinan pusat DAP walaupun DAP menjalankan pemilihan semula Jawatankuasa Ekskutif Pusat pada 29 September 2013 seperti yang diarahkan oleh ROS amat jelas adalah satu usaha untuk mengugat kestabilan dalaman DAP. Walaupun ada segelintir kecil ahli-ahli DAP yang cuba “menangguk dalam air keruh” seperti yang berlaku di Kedah dan beberapa kerat di Negeri Sembilan, rata-rata seluruh keahlian dan pimpinan DAP di semua peringkat amat bersatu-padu berdiri di belakang kepimpinan pusat DAP dan memberi kepercayaan penuh kepada Setiausaha Agung Sdr Lim Guan Eng. Ini cukup memberikan amaran kepada ROS, “Jangan main-main dengan DAP”.
Akhirnya, pada Selasa yang lalu, ROS terpaksa tunduk di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan pengakuan bahawa surat yang mereka keluarkan kepada DAP bahawa mereka tidak mengiktiraf CEC sekarang adalah tidak sah dan laku dari segi undang-undang dan CEC yang telah dipilih dalam Kongres Khas 2013 adalah sah dan berkuasa untuk memimpin DAP mengikut Perlembagaan Parti. Isu yang berpanjangan ini membuktikan bahawa sekiranya semua pemimpin dan ahli DAP bersatu-padu, kita mampu menewaskan musuh politik kita walau apa pun cubaan mereka untuk menggangu-gugat kestabilan DAP.

Krisis MB Selangor

Isu yang kedua ialah berkenaan krisis pertukaran Menteri Besar Selangor yang berpanjangan. Kita kena mengakui bahawa apa yang telah berlaku dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini memberikan kesan yang amat negatif kepada Pakatan Rakyat bukan sahaja di negeri Selangor tetapi di seluruh negara termasuk di Negeri Sembilan. Harapan dan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat hampir-hampir dimusnahkan oleh kemelut tersebut.

Pelantikan Timbalan Presiden PKR Sdr Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru diharap dapat menutup tirai krisis tersebut. Kita perlu melihat ke hadapan dan harapan kita ialah pentadbiran Menteri Besar dan Barisan EXCO yang baru di Selangor dapat mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada PR dalam masa terdekat.

Pencapaian kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor amat penting bukan sahaja di kedua-dua negeri tersebut tetapi ia mampu menjadi penjana perubahan di seluruh negara. Dasar dan pendekatan pentadbiran PR di kedua-dua negeri ini yang mempunyai komposisi penduduk yang berbilang kaum dan agama, akan menjadi model dan contoh pentadbiran untuk memenangi sokongan rakyat dalam PRU14!

Konsistensi pendirian DAP dalam isu MB Selangor dan kesetiaan kami terhadap konsensus bahawa jawatan MB Selangor perlu dari kalangan calon PKR, perlu diambil maklum oleh rakan-rakan dari PKR. Kesetiakawanan ini perlulah dibalas dengan peranan yang lebih besar dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor di semua peringkat. Perkongsian kuasa yang adil dan bermakna di Selangor akan dapat membantu kami di Negeri Sembilan untuk meyakinkan para pengundi bahawa DAP dalam Pakatan Rakyat tidak sama dengan MCA+MIC+Gerakan dalam Barisan Nasional. Semua parti komponen dalam Pakatan Rakyat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah antara satu sama lain.

Isu Hudud

Isu yang ketiga ialah berkenaan cadangan sesetengah pemimpin PAS untuk membentangkan usul Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. DAP secara konsisten tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Kami nak menegaskan bahawa kami tidak menentang agama Islam dan tidak memusuhi Muslim. Kami tidak bersetuju dengan hudud kerana pelaksanaan mana-mana hukum agama adalah tidak sesuai dan tidak praktikal dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia dan tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Semua pemimpin DAP berusaha sedaya-upaya sebelum PRU13 untuk meyakinkan masyarakat bukan Islam untuk menyokong Pakatan Rakyat termasuk PAS kerana matlamat Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia bukan untuk melaksanakan hudud tetapi untuk membawa pentadbiran yang berintegriti, memerangi rasuah, melaksanakan dasar-dasar kebajikan rakyat secara adil dan meringankan beban hidup rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama seiring dengan konsep “Negara Berkebajikan” yang diperjuangkan oleh PAS.

Namun, tindakan segelintir pemimpin dalam PAS yang ingin membawa agenda hudud ke Parlimen seolah-olah mencabuli konsensus dan dasar bersama Pakatan Rakyat. Saya nak menegaskan bahawa kami di Negeri Sembilan ingin meneruskan kerjasama dengan PAS dalam kerangka Pakatan Rakyat. Saya yakin kerjasama ini akan membuahkan hasil dalam PRU14 sekiranya kami bersepakat untuk memfokuskan segala usaha dan tumpuan kami dalam memperjuangkan isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, memerangi jenayah, melawan rasuah dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum dan agama.

Perkembangan parti di Negeri Sembilan

DAP Negeri Sembilan mencatatkan pencapaian yang paling cemerlang dalam PRU13 dengan memenangi semua kerusi yang ditandingi. Namun, kami kena sedar bahawa bulan madu sedah lama berlalu. Kemenangan yang lalu tidak menjamin kejayaan dalam PRU14 tanpa usaha gigih setiap wakil rakyat DAP dan kerjasama daripada setiap anggota parti. Harapan rakyat terhadap DAP sangat tinggi kerana mereka telah memberikan mandat yang begitu besar kepada kami.

Saya ingin mengingatkan semua wakil rakyat DAP di Negeri Sembilan bahawa prestasi kami sentiasa dipantau oleh majikan kami iaitu para pengundi. Justeru itu, setiap wakil rakyat mesti menjalankan tanggungjawab mereka dengan serius dan 5 perkara berikut wajib dilaksanakan:

  1. Memperjuangkan isu dan masalah rakyat secara lantang di setiap Persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dan berusaha mencari jalan penyelesaian secara berkesan
  2. Menguruskan pusat khidmat secara teratur dan professional dan mengaplikasikan teknologi maklumat dalam pengurusan kes-kes aduan rakyat
  3. Memastikan imej diri dan pembantu sentiasa mesra rakyat dan sudi membantu
  4. Melaksanakan inisiatif baru di kawasan masing-masing dengan kerjasama cawangan-cawangan tempatan untuk membuktikan apa yang boleh dilakukan oleh DAP walaupun tanpa sebarang sumber kerajaan
  5. Meningkatkan tahap pengenalan wakil rakyat DAP di kalangan pengundi melalui pelbagai saluran komunikasi, liputan dalam media pelbagai bahasa dan penglibatan secara aktif dalam program-program bersama rakyat.

Para pengundi semakin bijak menilai prestasi wakil rakyat mereka. Memang perkembangan ini adalah sesuatu yang kami harapkan kerana pemikiran politik yang matang di kalangan rakyat akan mempercepatkan lagi proses pendemokrasian di Malaysia. Jadi, semua wakil rakyat DAP mesti sedar bahawa mereka perlu berusaha sedaya-upaya untuk memenuhi kehendak rakyat. Sesiapa yang tidak dapat mengikut rentak dan berubah seiring dengan nadi masyarakat akan digantikan dengan calon yang lebih berwibawa dan komited dalam perjuangan.

Akhirnya, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Konvensyen Tahunan DAP NS 2014, Sdr Cha Kee Chin serta semua ahli jawatankuasa negeri yang berusaha menjayakan konvensyen pada pagi ini.

Selamat berkonvensyen!