Skip to content

Mengalu-alukan kenyataan tegas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Meskipun agak terkejut, saya mengalu-alukan kenyataan tegas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) untuk memulakan siasatannya sendiri ke atas 1MDB, tanpa perlu menanti laporan Ketua Audit Negara.

Bukan itu sahaja, beliau turut menentang keras sebarang idea untuk menjual aset 1MDB selain menjamin bahawa pihak kerajaan tidak akan menyelamatkan 1MDB menggunakan dana awam.

Pun begitu, setakat sebuah kenyataan media sahaja tidak cukup untuk menangani mereka yang sudah berulang kali melakukan kesalahan.

Justeru saya memohon Timbalan Perdana Menteri untuk mengeluarkan surat arahan rasmi kepada mereka yang berkenaan, tertuamanya pengurusan tertinggi 1MDB, bagi menetapkan tarikh supaya membolehkan pihak pengurusan tertinggi 1MDB memberikan kenyataan kepada PAC berhubung semua tuduhan terhadap syarikat tersebut.

Timbalan Perdana Menteri nampaknya terang-terang tidak berseutju dengan kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri dan tidak berpuas hati dengan taklimat yang diberikan oleh 1MDB bersama juruauditnya kepada Kabinet.

Itu sebabnya beliau mengeluarkan kenyataan yang begitu tegas terhadap kegagalan 1MDB, walaupun kedua-dua 1MDB dan juruauditnya Deloitte telah memberikan taklimat kepada Kabinet Rabu lalu.

Lebih menarik lagi, kenyataan Timbalan Perdana Menteri menunjukkan bahawa Menteri-menteri Kabinet yang lain, yang telah memilih untuk berdiam diri selepas mendengar taklimat 1MDB yang berpura-pura konon semuanya berkeadaan baik dalam syarikat milik negara tersebut, adalah menteri gaji buta.

Tidak seperti Timbalan Perdana Menteri yang berani untuk bukan sahaja tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, bahkan mengeluarkan kenyataan sendiri dan secara efektif memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri.