Saya mengalu-alukan keputusan Kerajaan untuk memberikan subsidi kepada penternak-penternak ayam untuk menolong mereka menampong kerugian yang mereka alami selepas Kerajaan menetapkan harga jualan ayam dari ladang penternakan di bawah kos pengeluaran. Respons Kerajaan kepada sidang media yang diadakan oleh saya bersama Persatuan Penternak Manjung, Perak pada hari Selasa (8hb Feb 2022) ini tepat sekali untuk memastikan industri ternakan ayam tidak terjejas dan bekalan daging ayam dan telur dalam pasaran terus mencukupi.
Walau bagaimana pun, subsidi sebanyak RM0.60 sekilo untuk daging ayam hanya mampu menolong penternak-penternak menampung kos penternakan ayam tanpa keuntungan. Penternak-penternak masih menampung kerugian jika kos tanah, faedah pinjaman daripada institusi kewangan dan kos modal pembinaan reban ayam diambil kira.
Saya menyeru kepada Kerajaan supaya meningkatkan sedikit lagi subsidi supaya penternak-penternak yang rajin berusaha ini boleh mendapat sedikit pendapatan atau keuntungan daripada hasil usaha mereka. Setiap pekerja berhak kepada sedikit pendapatan atau keuntungan daripada usaha penat lelah mereka.