Saya mengalu-alukan komitmen yang diumumkan semalam oleh Ketua Polis Negara (KPN), Acryl Sani Abdullah Sani dalam usaha mengesan dan membawa balik Jho Low untuk menghadapi tindakan undang-undang Malaysia.
Saya hanya ingin bertanya kepada KPN sama ada pihak polis telah menghubungi dua orang bekas wartawan Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope, tentang dakwaan mereka bahawa Jho Low dan keluarganya dilihat di negara China dan Hong Kong pada tahun 2018 dan 2019. Sekiranya tidak, mengapa pihak polis enggan mendapatkan maklumat daripada Wright dan Hope?
Saya juga ingin tanya KPN jika pihak beliau boleh mencadangkan kepada kerajaan untuk menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan Jho Low dan geng-gengnya yang dikehendaki polis. Sebagai contoh, ganjaran RM100,000 atau RM1 juta daripada harga kapal mewah Equanimity bernilai RM514 juta yang telah dirampas daripada Jho Low kemudian dijual kepada syarikat Genting oleh kerajaan pada tahun 2019.