Saya mengalu-alukan pengumuman YAB Menteri Besar Johor bahawa kerajaan negeri mempunyai perancangan melaksanakan kempen Food Bank pada Majlis Perasmian Muafakat Johor Café semalam.
Semenjak dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri Johor saya berhadapan dengan banyak kes kemiskinan yang terjadi setelah kejadian di luar jangkaan sehingga sesetengah keluarga ini terpaksa hidup dalam kelaparan. Hampir setiap hari pejabat saya akan menerima aduan daripada penduduk dalam kelaparan bersama-sama anak mereka untuk memohon bantuan. Suatu kejadian kemalangan jalan raya atau penyakit boleh mengakibatkan sesebuah keluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang terus diheret ke lembah kemiskinan.
Walaupun dalam keadaan serba kurang saya dan beberapa orang rakan seperjuangan telah menginisiatifkan program FoodBank dengan berpandukan contoh-contoh di bandar lain. Program ini dilancarkan dengan matlamat memberikan bantuan sementara kepada keluarga-keluarga ini dengan harapan mereka dapat mencari jalan penyelesaian dengan secepat mungkin.
Progam FoodBank ini dilancarkan pada bulan April. Pada 28 April seorang pemurah berbangsa India telah menyahut seruan kami dan menyumbangkan bahan makanan untuk program ini. Dua minggu kemudian, kami menerima permohonan daripada suatu keluarga ibu tunggal yang mempunyai 5 orang anak. Keluarga mereka menghadapi ancaman kelaparan setelah ketua keluarga meninggal dunia semasa kerja. Setelah mengenalpasti masalah mereka saya dan dua orang relawan telah menghantar bahan makanan kepada mereka dan membantu membuat permohonan bantuan daripada agensi-agensi yang berkenaan.
Setakat bulan Ogos, kami telah membantu 35 keluarga kurang berkemampuan dan mengedarkan lebih 100 set makanan dengan bantuan dan sumbangan daripada para pemurah dan relawan. Saya berasa serba salah semasa menjalankan program ini. Walaupun saya berharap program ini dapat terus dijalankan untuk membantu keluarga kurang berkemampuan ini dengan kerjasama dan solidariti daripada seluruh ahli masyarakat saya juga mahu melihat keadaan sosio ekonomi negara akan bertambah baik, kerajaan melengkapkan jaringan keselamatan sosial dan perlindungan kepada golongan pekerja, memberikan jaminan dari segi dasar supaya golongan bawahan tidak mengalami kesulitan sehingga terpaksa berhadapan dengan kelaparan.
Oleh itu, walaupun berlainan fahaman politik saya mengalu-alukan usaha kerajaan melaksanakan program FoodBank. Saya yakin program ini dapat memberikan manfaat kepada rakyat sekiranya dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.
Selain program FoodBank kerajaan negeri yang menguasai segala sumber wajarlah melengkapkan lagi jaringan keselamatan sosial yang kian kekurangan supaya kebajikan rakyat terus terpelihara. Kini kerajaan persekutuan bawah pimpinan YAB Dato Seri Najib telah mengurangkan banyak peruntukan dalam kebajikan masyarakat menyebabkan ramai orang yang memerlukan bantuan menghadapi masalah yang besar. Walaupun bajet kerajaan mungkin tidak lumayan saya yakin kerajaan negeri yang pro-rakyat masih mampu melaksanakan pelbagai dasar untuk membasmi kemiskinan dalam masyarakat kita. Saya mengalu-alukan persaingan dasar daripada semua pihak kerana saya yakin persaingan dari segi polisi akhirnya akan memanfaatkan rakyat.