Skip to content

Mengapa KPM tidak telus menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Mertajam?

Salah satu prinsip utama demokrasi berperlembagaan adalah fungsi Dewan Rakyat yang berperanan sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan eksekutif menjalankan tugasnya dengan bertanggungjawab dan sebagai platform semak dan imbang yang efektif. Di sini, pihak eksekutif mempunyai tanggungjawab yang serius dalam memastikan soalan-soalan yang diterima daripada wakil rakyat dijawab dengan teliti dan komprehensif agar maklumat yang tepat dapat disalurkan dengan efisien.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuktikan bahawa kementerian tersebut memandang ringan fungsi Parlimen dan kepentingan sesi soal jawab di Parlimen apabila Kementerian Pendidikan Malaysia langsung tidak menjawab secara telus dan komprehensif soalan YB Bukit Mertajam.

Soalan yang telah naik pada 15 Mac 2022 untuk dijawab adalah soalan YB Bukit Mertajam kepada Kementerian Pendidikan Malaysia adalah :

Untuk KPM menyatakan jumlah murid-murid yang berhenti sekolah pada sekolah rendah dan sekolah menengah mengikut pecahan gender, umur, kaum dan negeri dan pecahan tahun bagi 2018-2021.

Soalan ini adalah satu soalan yang spesifik dari segi pecahan demografik yang diminta serta tempoh masa statistik yang dikehendaki juga amat spesifik. Namun, Kementerian Pendidikan Malaysia bukan sahaja tidak menghormati proses soal jawab Parlimen malah telah pun bersikap tidak bertanggungjawab dalam memberikan jawapan yang langsung tidak menjawab walaupun sedikit soalan yang ditanya.

Jawapan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah seperti berikut:

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang membuat penelitian kepada Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM). KPM mendapati terdapat penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap sistem ini yang mula digunakan sejak 2012, khususnya tentang perekodan pemberhentian murid. Justeru, KPM sedang menambah baik prosedur pengurusan pemberhentian murid, termasuk melaksanakan intervensi terhadap murid yang memohon untuk berhenti sekolah.

Pihak kami ingin menujukan persoalan dan rasa resah kami kepada Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai pemimpin kementerian. Jawapan seperti ini langsung tidak dapat diterima. Apakah masalah yang sedang dihadapi sebenarnya? Adakah Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid tidak lagi berfungsi dan KPM tidak berupaya menjawab soalan yang dikemukakan dengan telus dengan memberikan pecahan statistik yang diminta? Jawapan yang diberi tidak berkait langsung dengan soalan yang dibangkitkan dan tindakan KPM ini membangkitkan keresahan terhadap sistem soal jawab Parlimen.

Setahu kami, sistem APDK adalah satu sistem asas yang sentiasa berfungsi dan KPM sepatutnya berupaya menjawab soalan YB Bukit Mertajam pada bila-bila masa soalan tersebut dikemukakan. Data-data yang diminta adalah data yang penting bagi mencerminkan kehadiran murid-murid ke sekolah dan data ini adalah terutamanya lebih penting untuk mengukur kesan pandemik Covid-19 ke atas sistem pendidikan negara.

Jika KPM tiada maklumat terperinci tentang keciciran murid-murid, bagaimanakah intervensi dapat dilakukan? Kami khuatir bahawa masalah keciciran sebenarnya bertambah serius dalam tempoh pandemik ini, tetapi tanpa data, kita tidak dapat membuat perbandingan.