Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil, yang disiarkan oleh media hari ini di mana beliau menyifatkan ramai menteri yang “bodoh” sewaktu era pentadbiran Pakatan Harapan, termasuk saya, kerana menggalakkan rakyat minum sesudu minyak sawit merah sehari untuk kebaikan kesihatan.
Saya terkejut dengan kenyataan Isham yang bukan sahaja tidak berasaskan fakta dan sains tetapi juga menentang dasar kerajaan berhubung hasil kelapa sawit yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Saya tidak tahu sama ada beliau belajar sains daripada media sosial atau beliau tidak yakin dengan kerajaan, sama ada yang ditadbir oleh PH atau Barisan Nasional, untuk mempertahankan komoditi negara.
Minyak sawit merah sangat berkhasiat dan baik untuk kesihatan. Ia BUKAN minyak masak kelapa sawit biasa yang telah melalui proses penapisan. Masih ramai yang jahil dan keliru tentang hal ini.
Khasiat minyak sawit merah telah terbukti kebaikannya dan disokong oleh pakar sains serta pengkaji minyak sawit di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) (https://www.malaysiakini.com/news/533679).
Isham sepatutnya membuat “home work” tentang produk kebanggaan negara, termasuk minyak sawit merah, dan bukannya menjatuhkan imej produk Malaysia yang penting.
Saya juga berharap ejekan Isham terhadap cadangan minum sesudu minyak sawit merah tidak akan dijadikan bahan kempen anti-kelapa sawit oleh pihak-pihak antarabangsa yang bertujuan menjejaskan hasil keluaran serta eksport negara kita ini.
Memang mudah untuk menuduh orang lain “bodoh” tetapi kesannya boleh kena batang hidung sendiri. Saya berharap pemimpin politik sama ada PH atau PN/BN, serta seluruh rakyat Malaysia terus menjayakan Kempen Sayangi Sawitku, tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan.