Adalah dikesali bahawa Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional masih bermain politik balas dendam dan hasad dengki ke atas negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Harapan(PH) dengan membatalkan jaminan pinjaman sebanyak USD500 juta(RM2 bilion) kepada permohonan pinjaman RM2.04 bilion oleh kerajaan Pulau Pinang bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT).
Sekiranya benar Asian Development Bank(ADB) bersedia memberikan pinjaman sedemikian, ini adalah berdasarkan kemampuan negeri Pulau Pinang untuk membayar balik pinjaman ini. Politik balas dendam ini begitu ketara kerana sekiranya daripada aspek kewangan tidak ada sebab mengapa jaminan kerajaan persekutuan kepada pinjaman bank tidak boleh diluluskan. ADB bukanlah institusi kewangan calang-calang yang memberi pinjaman sesuka hati tetapi adalah bank pembangunan antarabangsa yang terkenal dengan urustadbir baik dan memenuhi prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
ADB hanya akan memberi pinjaman untuk projek seperti pengangkutan dan komunikasi sekiranya penilaian terperinci mereka membuktikan peminjam mampu membayar balik hutang tersebut. Jelas sekali Pulau Pinang mempunyai prestasi baik dalam pengurusan kewangan dengan pujian setiap tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Pulau Pinang mencatatkan rekod cemerlang dalam pengurusan hutang dengan pinjaman terendah di antara semua negeri di Malaysia sebanyak RM57.83 juta pada 2018. Aset pula hampir RM2 bilion. Atas prestasi kewangan inilah, jaminan kerajaan negeri Pulau Pinang mencukupi untuk menyakinkan CIMB memberikan pinjaman bank sebanyak RM1.5 bilion kepada Penang Development Corporation, yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Mengapa Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa menjadi Ketua Pegawai Eksekutif CIMB boleh luluskan pinjaman RM1.5 bilion terus kepada anak syarikat kerajaan negeri, Penang Development Corporation(PDC) pada 2018, tetapi sebagai Menteri Kewangan enggan luluskan jaminan RM2 bilion kepada kerajaan negeri Pulau Pinang? Sehingga kini PDC tidak bermasalah membayar balik pinjaman RM1.5 bilion secara ansuran ini kepada CIMB.
Tentunya di bawah piagam penubuhan ADB, mereka boleh memberi pinjaman kepada sesebuah negara atau sekiranya mendapat jaminan daripada negara. Projek LRT di Pulau Pinang memang diperlukan untuk mengatasi kesesakan trafik mendesak yang akan menjejaskan pembangunan pesat masa depan Pulau Pinang ke arah menjadi negeri bertaraf antarabangsa yang maju dan mampan.
Adalah diharapkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz boleh menimbang semula keputusan membatalkan jaminan kepada ADB, berdasarkan prestasi kewangan dan kemampuan membayar oleh kerajaan negeri. Ini kerana kerajaan persekutuan akhirnya tidak perlu membayar hutang ini kerana ia memang mampu dibayar penuh oleh kerajaan negeri. Kerajaan persekutuan harus memudahcara dan bukan membantutkan pembangunan negeri Pulau Pinang atas alasan politik, apabila dana pinjaman ini datang daripada ADB, dan akan diuruskan, ditadbir and dipantau secara profesional oleh institusi kewangan bertaraf antarabangsa seperti ADB.