Skip to content

Mengapa tiada tindakan polis terhadap kumpulan UMNO dan Utusan Malaysia yang menyebarkan pembohongan merbahaya dan menyemai kebencian agama?

DAP menyokong kecaman Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim terhadap mereka yang menyebarkan pembohongan berbahaya bahawa DAP berhasrat menyebarkan agama Kristian dan menubuhkan sebuah negara Kristian di Pulau Pinang. DAP adalah konsisten dalam menentang mana-mana penubuhan negara teokratik, termasuk negara Kristian.

Kenyataan Anwar adalah tepat bahawa tidak ada kebenaran dalam pembohongan terhadap DAP itu. DAP dan saya sendiri telah menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kami terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama Persekutuan. Pembohongan dibuat oleh kumpulan UMNO dan Utusan Malaysia terhadap DAP semata-mata atas alasan rapuh bahawa pemimpin-pemimpin DAP telah menghadiri satu mesyuarat tertutup dengan pastor Kristian.

Apa salahnya menghadiri mesyuarat tertutup dengan pastor Kristian apabila pemimpin-pemimpin DAP juga telah menghadiri mesyuarat dengan para pemimpin dari kumpulan agama lain termasuk Islam? Kumpulan UMNO ini juga membuat laporan polis terhadap DAP dan pastor Kristian.

Siasatan polis terhadap kandungan mesyuarat dengan pastor Kristian yang melibatkan Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi di Pulau Pinang membuktikan bahawa dakwaan mereka bahawa DAP mahu membentuk sebuah negara Kristian adalah satu pembohongan. Lebih-lebih lagi, apabila Jeff Ooi bukan Kristian tetapi Buddha. Walaupun polis menutup kes ini, tiada tindakan diambil terhadap kumpulan tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah tersebut.

Mengapa tiada tindakan polis terhadap kumpulan UMNO dan Utusan Malaysia yang menyebarkan pembohongan merbahaya dan menyemai kebencian agama bahawa DAP berhasrat menubuhkan negara Kristian di Pulau Pinang dan Malaysia?