Berikutan keputusan mengejutkan kerajaan untuk menghidupkan semula projek Saluran Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) yang bernilai RM9.4 bilion, di mana 88% atau RM8.3 bilion daripada nilai pembinaan telah dibayar walaupun hanya 13% kerja TANPA AUDIT telah dilakukan, persoalan juga akan dibangkitkan mengapa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak dihidupkan semula. Kerajaan perlu menjelaskan punca terhadap skandal ini yang membayar 88% untuk hanya 13% kerja TANPA AUDIT yang dilakukan, dan bentuk tindakan yang diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab demi kepentingan ketelusan dan akauntabiliti.
PH telah mencadangkan jalan keluar yang lebih baik melalui penjimatan kos berbilion-bilion ringgit daripada menghentikan projek-projek bermasalah ini, dan dikembalikan ke Sabah dan negeri-negeri yang terlibat dalam bentuk projek jalan raya, air dan infrastruktur yang lebih diperlukan.
Menghidupkan semula projek-projek bermasalah ini telah menarik perhatian terhadap Malaysia membayar S$102.8 juta (RM 320 juta) dalam bentuk pampasan yang dibayar kepada Singapura kerana membatalkan projek HSR, yang sepatutnya diteruskan untuk memberi manfaat ekonomi kepada negeri-negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Lembah Klang daripada hubungan yang lebih erat dengan Singapura. Ramai yang mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan menamatkan projek HSR dengan hanya berhenti di Johor Baru dan bukannya Singapura, serta membayar kerugian RM320 juta dalam kos pampasan walaupun sebelum ini telah berjanji secara terbuka untuk meneruskan HSR.
PH tidak mempersoalkan keperluan untuk projek HSR tetapi mahu menyemak semula harga yang terlalu tinggi dan struktur kos yang dipersetujui oleh Kerajaan BN sebelum ini. Projek HSR tidak berdaya maju daripada segi kewangan sekiranya landasan kereta apinya tidak melalui Singapura tetapi berhenti di Johor Bahru.
Ini tidak berdaya maju kerana ia menimbulkan persoalan mengenai kesinambungan kewangan projek tersebut dan juga menghadkan kesan positif ekonomi kepada negara, jika HSR tidak berhenti di Singapura. Tidak dinafikan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan akan menjadi negeri yang paling rugi daripada pembatalan projek HSR.