Skip to content

Mengapakah Najib tidak mencari pemaju tempatan untuk membangunkan Bandar Malaysia sekiranya projek tersebut benar-benar dapat memberi keuntungan?

Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin tidak pernah mendengar pepatah Inggeris “Once bitten, twice shy!”. Berapa kali Najib mahu mempermainkan ahli-ahli perniagaan China dengan projek Bandar Malaysia yang penuh kontroversi? Adakah Najib dan pasukan pemikirnya benar-benar percaya bahawa pelabur asing itu semuanya bodoh dan mudah ditipu?

Baru sahaja minggu lalu, Najib yang bertindak sendiri dan tanpa notis, menamatkan perjanjian Disember 2015 dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan rakan kongsi China Railway Engineering Corporation (CREC) untuk memperoleh kepentingan 60% dalam projek Bandar Malaysia. Kedua-dua IWH, CREC dan kerajaan Malaysia mempunyai pernyataan yang berbeza-beza tentang sebab sebenar kegagalan perjanjian bernilai RM7.41 bilion itu. CREC adalah syarikat 100% milik kerajaan China. Dan hanya semalam, Najib dan rombongan menterinya terbang ke China untuk bertemu orang paling kaya di China, Wang Jianlin, dengan harapan untuk membuat perjanjian dengan syarikat Wang pula, Dalian Wanda Group, untuk melabur sejumlah US$10 bilion (RM43.4 bilion) dalam projek Bandar Malaysia.

Wang, seorang yang kaya dan cerdik, tidak menandatangani apa-apa, walaupun MOU untuk tayangan media, dengan Najib semalam.

Mungkin ada dua sebab kenapa Wang kecewakan Najib dalam projek Bandar Malaysia: Pertama, Wang mungkin mengambil isyarat daripada episod IWH-CREC dan bimbang pentadbiran Najib akan mencari masalah dengan kontrak baru mereka dan enggan mematuhi tanggungjawab di bawah kontrak terbabit. Kedua, Dalian Wanda Group sebagai salah sebuah konglomerat terbesar dunia langsung tidak ada sebarang sebab untuk masuk campur dalam projek Bandar Malaysia yang terkait dengan skandal 1MDB.

Niat sebenar Najib untuk menjual Bandar Malaysia kepada pelabur asing amatlah diragui dan dipersoalkan kerana projek tersebut seharusnya dimajukan oleh syarikat Malaysia sendiri sekiranya ia satu pelaburan yang baik. Kenapa lebihkan orang asing berbanding anak bangsa sendiri? Bukankah itu satu pengkhianatan kepada rakyat?

Najib patutnya tidak berhadapan masalah untuk mencari pemaju tempatan untuk membangunkan Bandar Malaysia sekiranya projek tersebut benar-benar dapat memberi keuntungan. Jika tidak ada satu pun syarikat tempatan mampu menjalankan projek tersebut, Najib boleh sahaja mencari sekumpulan konglomerat tempatan untuk menjalankan projek itu.