Skip to content

Mengapakah pengagihan kuasa pusat dianggap hasutan tetapi tidak apabila kuasa dirampas daripada negeri?

Utusan Malaysia, akhbar harian nasional milik Umno, melalui editorial Ahad Bisik-bisik, telah mendakwa artikel saya bertajuk “Kaji semula kontrak persekutuan,”[3] yang mencadangkan desentralisasi ataupun pengagihan kuasa pusat, sebagai berunsur hasutan.

Menurut editorial tersebut, “Atas apa sahaja alasan termasuk ekonomi dan administratif, tuntutan ke arah desentralisasi atau pengagihan kuasa itu tidak wajar dilayan sama sekali oleh kerajaan pusat”. Tambahan lagi, artikel saya dikatakan “boleh dilihat sebagai satu hasutan yang boleh menggugat Perlembagaan Persekutuan.”

Desentralisasi adalah konsep yang berlandaskan Perlembagaan

Saya tidak hairan dengan pendirian Utusan ini, kerana desentralisasi sudah tentu akan mengurangkan kuasa tuan mereka, yakni parti pemerintah kerajaan persekutuan. Walau bagaimanapun, sebelum melabelkan cadangan saya sebagai menghasut atau menggugat Perlembagaan Persekutuan, mereka sepatutnya terlebih dahulu memahami undang-undang tertinggi negara kita.

Secara khusus, perhatian perlu diberikan kepada dua klausa pertama Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan:

76A. (1) Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu.

(2) Walau apa pun Perkara 75, sesuatu undang-undang Negeri yang dibuat di bawah kuasa yang diberikan oleh Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal (1) boleh, jika dan setakat yang diperuntukkan sedemikian oleh Akta itu, meminda atau memansuhkan (berkenaan dengan Negeri yang berkenaan) mana-mana undang-undang persekutuan yang telah diluluskan sebelum Akta itu.

Dalam erti kata lain, Parlimen boleh, melalui peruntukan Perkara 76A, mewakilkan kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang biasanya jatuh di bawah bidang kuasa persekutuan. Sebagai contoh, ini telah dilakukan dalam kes Akta Pemerbadanan (Kekuasaan Badan Perundangan Negeri) 1962, yang membolehkan badan perundangan negeri untuk mewujudkan syarikat perbadanan negeri seperti PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) atau MBI (Perbadanan Menteri Besar), walaupun kuasa pemerbadanan jelas termasuk di bawah senarai Persekutuan jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Maka, pengagihan kuasa daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri bukan sahaja tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengapakah bukan satu hasutan apabila kuasa negeri dirampas?

Tuduhan bahawa cadangan saya itu merupakan hasutan sangat tidak masuk akal. Sekiranya pengagihan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada negeri-negeri boleh dianggap sebagai hasutan, mengapakah ia tidak menghasut jika sebalik berlaku?

Sejak bertahun lamanya, kerajaan pusat telah merampas kuasa daripada kerajaan-kerajaan negeri dan tempatan. Sebagai contoh, pentadbiran pembetungan diambil alih daripada pihak berkuasa tempatan pada tahun 1993, manakala pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam telah dirampas oleh kerajaan persekutuan pada tahun 2007. Ini dilakukan melalui pindaan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Trend ini nampaknya berterusan, sepertimana pengumuman baru-baru ini oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa pembersihan tandas awam juga akan diambil alih oleh Putrajaya pada tahun 2016.[4]

Sementara itu, pindaan pada tahun 1976 kepada Perkara 111 Perlembagaan Persekutuan pula menghalang kerajaan negeri bukan sahaja daripada mengambil pinjaman bahkan menyediakan jaminan pinjaman untuk perbadananan negeri, kecuali dengan kelulusan persekutuan. Hal ini menyukarkan kerajaan negeri untuk membuat pinjaman dana, dan lebih ketara sekali mewujudkan kebergantungan kepada ihsan kerajaan persekutuan, khususnya dalam pelaburan infrastruktur berskala besar.

Desentralisasi sebenarnya merugikan BN

Jelas sekali, kerajaan BN paling rugi jika kuasa desentralisasikan. Hakikatnya, lebih banyak kuasa dimiliki oleh kerajaan persekutuan, lebih banyak naungan (patronage) mereka mampu agihkan. Oleh sebab itu, kerajaan BN kecenderungan untuk memusatkan bidang tadbir urus yang melibatkan kontrak pengurusan, pelesenan atau pembinaan infrastruktur.

Dalam konteks ini, percubaan untuk melabel saya sebagai penghasut adalah tidak lebih daripada satu tindakan terdesak oleh mereka yang bukan sahaja jahil tentang peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga gagal menyedari fungsi sebenar persekutuan.