Bersempena Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2014 ini, dengan penuh takzim dan kesyukuran, saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Pulau Pinang merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan dirgahayu kepada Tuan Yang Terutama Tun, sempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang Yang Ke 76. Kami semua merafakkan doa ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan dilanjutkan usia, dirahmati serta dianugerahi oleh Tuhan Yang Maha Esa dengan nikmat kesihatan, kebahagiaan dan kesejahteraan untuk terus mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat dan Negeri Pulau Pinang.
Tuan Yang Terutama Tun,
Di Majlis yang mulia pagi ini, saya sekali lagi bersama-sama dengan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, pemimpin-pemimpin di pelbagai peringkat dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang, dengan ini memperbaharui ikrar taat setia kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Malaysia dan Negeri Pulau Pinang serta Negara Malaysia yang tercinta.
Di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun, rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini sentiasa hidup bersatu padu dan saling bekerjasama dalam suasana penuh harmoni dan muhibah. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk terus mentadbir negeri ini dengan lancar dan berkesan.
Sesungguhnya, amanah yang diberikan ini akan saya pikul dan laksanakan bersama-sama barisan pimpinan negeri ini dengan mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) demi kebaikan negeri serta kesejahteraan rakyat jua.
Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima darjah-darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri pada tahun ini. Semoga pengurniaan ini dapat menyemarakkan lagi azam, semangat dan iltizam para penerima anugerah sekalian dalam memberikan sumbangan dan jasa bakti demi pembangunan serta kemajuan negeri dan negara.
Saya juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat handai mangsa tragedi nahas MH370 dan MH17. Kerajaan Negeri juga terlebih dahulu telah mengibarkan bendera separuh tiang mulai 17 Julai 2014 hingga 19 Julai 2014. Negeri Pulau Pinang juga telah bersama-sama berkabung dan bertafakur pada Hari Perkabungan Negara di perkarangan bangunan KOMTAR, semasa berlangsungnya istiadat penghormatan kepada kumpulan pertama jenazah mangsa MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 22 Ogos 2014. Semoga Tuhan memberkati dengan memberikan kekuatan kepada ahli keluarga mereka untuk menghadapi tragedi ini.
Tuan Yang Terutama Tun,
Mentransformasikan Pulau Pinang Menjadi Sebuah Negeri Bertaraf Antarabangsa Dan Pintar
Adalah menjadi inspirasi Kerajaan Negeri untuk mengekalkan pembangunan negeri ke arah sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar. Justeru itu, peruntukan pembangunan berjumlah RM239 juta pada tahun ini telah disediakan. Sejak tahun 2011 sehingga tahun ini, peruntukan pembangunan sebanyak RM1.208 bilion telah diluluskan untuk kerja-kerja pembaikan infrastruktur jalan, longkang, Dewan Orang Ramai, taman hijau, pasar, sekolah, masjid, surau dan termasuk projek-projek pembangunan baru di Negeri Pulau Pinang. Ini tidak termasuk tanah yang diberikan secara percuma untuk sekolah, masjid dan tapak perkuburan orang Islam.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya mencatat lebihan belanjawan sebanyak RM252.8 juta sejak tahun 2008 sehingga tahun 2012 serta meningkatkan lagi aset negeri sebanyak 50% daripada RM800 juta kepada RM1.2 bilion. Lebih penting lagi, kita dapat mengurangkan hutang Kerajaan Negeri kita sebanyak 90%. Pencapaian-pencapaian Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini telah mendapat pengesahan dari ‘Transparency International’ dan Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun. Hanya kepimpinan yang telus dan berintegriti dapat melaksanakan dasar ekonomi serampang tiga (3) mata – menjana pertumbuhan ekonomi (pro-growth), mewujudkan peluang pekerjaan (pro-jobs) dan memupuk keadilan saksama (pro-poor).
Penjualan Tanah Kepada Pihak Pemaju Sebelum Tahun 2008 – 35 Kali Ganda Lebih Besar
Perlu ditegaskan bahawa lebihan belanjawan ini bukan dicatat daripada punca penjualan tanah kerana hasil penjualan tanah disalurkan untuk membina rumah awam dan rumah mampu milik. Sebenarnya, sekiranya dibandingkan dengan penjualan tanah sebelum tahun 2008, Kerajaan Negeri sekarang menjual jauh lebih kecil tanah Kerajaan kepada pihak pemaju. Selepas tahun 2008, Kerajaan Negeri menjual 106.1 ekar tanah melalui tender terbuka secara kompetitif dengan pulangan RM1,110.2 juta berbanding dengan penjualan 3,661 ekar tanah sebelum tahun 2008 dengan hasil RM1,058.6 juta iaitu jumlah yang lebih kurang kerana dibuat secara tender tertutup ataupun rundingan terus. Dalam erti kata lain, penjualan tanah sebelum tahun 2008 adalah 35 kali ganda lebih besar, namun hasilnya masih lebih kurang berbanding dengan apa yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri sekarang.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pengangkutan Awam Dan Pengurusan Lalu Lintas Yang Cekap
Kerajaan Negeri terus berusaha untuk memberikan tumpuan kepada dua (2) cabaran utama rakyat Pulau Pinang iaitu memperbanyakkan bekalan rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat dan mengatasi masalah pengangkutan awam. Kerajaan Negeri akan berusaha mengatasi masalah kesesakan trafik dengan menawarkan tender terbuka melalui panggilanRequest For Proposal(RFP) untuk Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang yang bernilai RM27 bilion merangkumi pengangkutan awam seperti monorel, tram, bas serta teksi air di kawasan Pulau dan juga Seberang Perai. Tender ini mula dibuka pada 15 Ogos 2014 dan ditutup pada 16 Disember 2014. Sehingga 12 September 2014, sejumlah 46 dokumen RFP telah dijual kepada pembida untuk tujuan menyertai tawaran tersebut. Sebelum ini, tender telahpun diberikan secara terbuka dengan nilai RM6.3 bilion untuk membina tiga (3) buah lebuhraya dan juga terowong bawah dasar laut yang pertama di Malaysia di antara Persiaran Gurney dan Bagan Ajam di Butterworth yang dijangka siap pada 2025 ke 2027.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pulau Pinang Mencapai Matlamat Demokrasi Perumahan Menjelang 2020
Bagi tujuan pembangunan perumahan awam dan mampu milik, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana RM500 juta untuk membina 22,575 unit di kelima-lima daerah di Pulau Pinang. Harga rumah tersebut di antara RM42,000.00 hingga RM400,000.00 dan melibatkan keluasan tanah sebanyak 17.5 ekar di Daerah Timur Laut, 5.8 ekar di Daerah Barat Daya, 29.46 ekar di Seberang Perai Utara, 29.6 ekar di Seberang Perai Tengah dan 200 ekar di Seberang Perai Selatan. Adalah dijangka dengan tambahan lebih 20,000 buah rumah awam dan mampu milik lagi daripada sektor swasta di mana jumlahnya mencukupi bagi memenuhi permintaan orang ramai dan sekaligus mencapai matlamat demokrasi perumahan menjelang 2020.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pulau Pinang Akan Mempunyai 664 Unit Kamera CCTV Menjelang 2015 Untuk Memerangi Jenayah
Demi keselamatan, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah menambah lagi 56 unit kamera CCTV yang akan menelan belanja sebanyak RM9.8 juta untuk tempoh lima (5) tahun. Ini akan menjadikan keseluruhan 110 unit kamera CCTV, di mana 37 unit ditempatkan di Seberang Perai Utara, 46 unit di Seberang Perai Tengah dan 27 unit di Seberang Perai Selatan. Saya difahamkan bahawa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan turut menyumbangkan sebanyak 20 unit CCTV kepada MPSP pada hujung tahun ini yang menjadikan keseluruhan 130 unit kamera CCTV di Seberang Perai.
Sebanyak 202 unit kamera CCTV telah dipasang di bahagian Pulau setakat ini, di mana 182 unit ditempatkan di Daerah Timur Laut dan 20 unit di Daerah Barat Daya. Jumlah kos pemasangan 202 unit kamera CCTV ini adalah RM14.4 juta, di mana RM11.1 juta telah dibiayai olehMajlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) manakala RM4.3 juta dibiayai olehKementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Pada tahun 2015, 300 unit kamera CCTV tambahan akan dipasang oleh MPPP yang akan menelan belanja sebanya RM14 juta. Di samping itu, 32 unit kamera CCTV akan dipasang oleh KPKT yang akan melibatkan kos sebanyak RM5 juta. Daripada 332 unit kamera CCTV ini, 212 unit ditempatkan di Daerah Timur Laut dan 120 unit di Daerah Barat Daya. Ini menjadikan keseluruhan kamera CCTV di kawasan Pulau adalah 534 unit kamera CCTV yang bermakna. Pulau Pinang akan mempunyai 664 unit kamera CCTV pada tahun 2015.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pulau Pinang Berazam Ke Arah Kemiskinan Sifar Menjelang Tahun 2015
Pulau Pinang adalah negeri pertama di Malaysia yang bebas dari miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga memenuhi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebanyak RM790.00 sebulan pada 2013. Dengan kata lain melalui Agenda Ekonomi Sosial (AES), Kerajaan Negeri akan menjaminkan setiap keluarga yang tidak memperolehi RM790.00 sebulan diberikan wang perbezaan agar dapat ‘top-up’ (tambah nilai) sehingga cukup RM790.00 sebulan. Sejak tahun 2008 sehingga Julai 2014, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM 13,456,167.00 selaras dengan pengekalan status Pulau Pinang sebagai miskin tegar sifar. Dengan AES, Pulau Pinang berazam untuk terus menjadi negeri pertama yang membasmi kemiskinan sama sekali menjelang tahun 2015.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pulau Pinang Destinasi Utama Pilihan Pelancong/Pengunjung Sehingga Dikenali Sebagai Bandaraya Budaya Utama Malaysia
Pada tahun 2013, Kerajaan Negeri bersama PDC dan agensi Kerajaan Negeri lain meneruskan aspirasinya untuk mentransformasikan Pulau Pinang menjadi sebuah bandaraya pintar yang bertaraf antarabangsa. Pulau Pinang terus memberi impak dalam kedua-dua sektor industri dan pelancongan di peringkat kebangsaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan pesaingan.
Sektor pelancongan Negeri Pulau Pinang membangun dengan pesat. Statistik pada tahun 2013 menunjukkan peningkatan jumlah pengguna lapangan terbang daripada 4.77 juta kepada 5.46 juta ataupun peningkatan hampir 15% berbanding tahun sebelumnya. Pada tahun yang sama juga, Pulau Pinang telah mencatat kadar penginapan hotel sebanyak 66.55%, peningkatan sebanyak 2.62% daripada 63.93% pada tahun 2012. Selain itu, mulai tahun ini, setiap kali adanya perayaan besar atau cuti sekolah, terlalu sukar untuk mendapatkan bilik hotel tidak kira ianya merupakan bilik murah atau mewah.
Tuan Yang Terutama Tun,
Bagi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, seramai 1.23 juta orang pengunjung direkodkan setakat 31hb Disember 2013, dengan jumlah kutipan jualan tiket adalah sebanyak RM12.8 juta berbanding dengan 1.2 juta pengunjung dan RM12.35 juta kutipan pada tahun 2012. Sasaran tahun 2014 adalah seramai 1.4 juta pengunjung dan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang kini dalam usaha untuk melaksanakan projek-projek bernilai RM15 juta termasuk untuk menaiktaraf Bukit Bendera sebagai destinasi utama peranginan bukit yang terunggul di Malaysia.
Dalam pada itu, Festival George Town telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sejak beberapa tahun berjaya meletakkan Pulau Pinang sebagaihotspotuntuk seni warisan dan budaya, sekaligus membolehkan Pulau Pinang kini dikenali sebagai bandaraya budaya utama Malaysia.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pulau Pinang Sebagai Pusat Animasi Malaysia Dalam Memacu Keusahawanan Industri Kreatif
Pulau Pinang juga mempunyai potensi untuk menjadi satu ‘cluster’ untuk pusat animasi di Malaysia pada masa hadapan. Di Pulau Pinang, kita mempunyai universiti dan kolej yang memenuhi keperluan dan melatih bakat multimedia kreatif dalam bidang seni, animasi sentuhan 3D termasuk ilustrasi dan kesenian. Tapak Warisan UNESCOGeorge Towntelah dikenal pasti sebagai pusat perkembangan multimedia kreatif dengan sejumlah 100,000 kaki persegi ruang pejabat yang dikenali sebagaiCreative Animation Triggers(CAT) diusahakan untuk memupuk kemunculan ‘cluster’ pengetahuan baru ini.
PusatCreative Animation Triggers(CAT) ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti, keupayaan dan kecekapan dalam industri kreatif di Pulau Pinang bagi menghasilkan perkhidmatan pengisian bertaraf antarabangsa. Pulau Pinang memenuhi syarat 3T iaitu’Talent, Technology and Tolerance’untuk menjadi hab global bagi maklumat dan perkhidmatan digital multimedia serta memacu keusahawanan dalam industri kreatif.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pulau Pinang Kekal Menjadi Pilihan Utama Para Pelabur Dalam Sektor Pembuatan, Perkhidmatan Dan Pembinaan
Pulau Pinang telah mengekalkan kedudukannya antara negeri ketiga terbaik untuk pelaburan dan destinasi pelancongan pilihan di Malaysia dengan Pelaburan Luar Negeri atau FDI di Malaysia bagi tempoh 2010 hingga 2013 berjumlah RM20.5 bilion, yang merupakan hampir 18% daripada FDI keseluruhan Malaysia sebanyak RM114.6 bilion. Di samping itu, Pulau Pinang mempunyai potensi untuk menjadi hab serantau kelima terbaik dalam perkhidmatan perkongsian penyumberan luar [Shared Services Outsourcing(SSO) danBusiness Process Outsourcing(BPO)]dalam tempoh lima tahun akan datang, setelah dikenalpasti sebagai satu daripada 31 Hab BPO olehKPMG. Cabaran masa depan untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan bergantung kepada keupayaan untuk berdaya kreatif. Tiga (3) syarat penting 3T bagi kreativiti iaitu’Talent, Technology and Tolerance’wujud di Pulau Pinang dan kami harus mengambil peluang mendirikan ‘creative cluster’ untuk menarik pelabur berteknologi tinggi dan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Tuan Yang Terutama Tun,
Menggalakkan Budaya Keluarga Dan Kerjaya Yang Seimbang
Kerajaan Negeri bersama Penang Women Development Centre (PWDC) juga telah melancarkan Taska D’Komtar pada 8hb Ogos 2014, iaitu kemudahan penjagaan kanak-kanak untuk kakitangan kerajaan di KOMTAR. Taska D’Komtar akan menjadi model bagi majikan di seluruh negeri dan sebagai menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menggalakkan budaya keluarga dan kerjaya yang seimbang, serta menyokong ibubapa yang bekerja dan anak-anak mereka yang merupakan generasi masa depan Pulau Pinang.
Tuan Yang Terutama Tun,
Ucapan Syabas Kepada Atlet-Atlet Negeri Pulau Pinang Yang Telah Beraksi Cemerlang Di Sukan Komanwel Ke 20, Glasgow 2014
Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga di kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlet-atlet negeri Pulau Pinang yang telah mencapai kejayaan cemerlang mewakili Negara di Sukan Komanwel ke 20, Glasgow 2014 di Scotland. Seramai enam (6) orang atlet negeri Pulau Pinang daripada sejumlah 179 orang atlet yang mewakili Negara telah berjaya memenangi pelbagai pingat dan telah diberikan RM140,000.00 sebagai insentif galakan di atas kejayaan mereka mengharumkan nama Negeri Pulau Pinang dan juga Malaysia.
Tuan Yang Terutama Tun,
Tadbir Urus Yang Baik Oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang Kerana Rakyatnya
Di Pulau Pinang, kita mempunyai tadbir urus yang baik kerana rakyatnya. Macam mana baiknya sesebuah Kerajaan adalah sebaik rakyatnya – ‘a good Government is only as good as its people’. Oleh itu, suara mereka perlu didengar dan mereka juga harus dirundingkan dalam membangunkan Negeri Pulau Pinang. Oleh itu, adalah penting bagi Pulau Pinang untuk terus menggalakkan dan meningkatkan pembentukan modal insan serta pembinaan keupayaan melalui pendidikan dan latihan bagi menarik kembali bakat Pulau Pinang/Malaysia dari luar negara. Ini akan menggalakkan inovasi melalui penyelidikan dan pembangunan, menggalakkan keusahawanan, menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi dan meningkatkan produktiviti.
Kerajaan Negeri yakin kepada masa depan Pulau Pinang kerana kami yakin kepada daya tenaga, daya kepakaran dan daya keusahawanan rakyat. Rakyat akan menjadi punca, sumber dan ilham untuk menempa kejayaan serta mencapai kejayaan sebagai ekonomi maju dan berpendapatan tinggi.
Tuan Yang Terutama Tun,
Akhir kata, saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat negeri ini mengucapkan pengharagaan ke atas sumbangan semua pegawai Kerajaan, khususnya pasukan keselamatan yang menjaga ketenteraman awam. Sekali lagi Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih di atas jasa bakti dan keperihatinan Tuan Yang Terutama Tun dalam menerajui pemerintahan negeri ini dan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Jadi Yang Ke 76. Kami berdoa agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta keluarga sentiasa dilimpahi oleh Yang Maha Esa dengan segala keberkatan di dalam menjalani kehidupan seharian serta hidup aman bahagia dan sejahtera selalu hendaknya.
Sekian, terima kasih.