Saya mengecam Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang cuba mengelak daripada menjawab persoalan asas.
Saya berasa terkejut dengan Dato Seri Rina Harun yang bercadang menggunakan label atau tanda berbeza untuk barangan keperluan yang disumbangkan oleh NGO. Isu menggunakan label atau tanda yang berbeza sebenarnya tidak timbul sama sekali.
Isu pokok yang masih gagal dijawab oleh Menteri adalah mana perginya 1000 bakul makanan yang setiap satunya bernilai RM100, seperti mana yang tertera dalam Garis Panduan yang berlandaskan surat bertarikh 27 Mac 2020 daripada Kementerian Kewangan.
Walaupun Dato Seri Rina telah memberikan ulasan pertama beliau selepas 4 hari isu bakul makanan yang hanya bernilai RM35 ditimbulkan. Namun, beliau gagal menjawab soal pokok yang berkaitan dengan kenapa bakul makanan yang setiap satunya bernilai RM100 masih belum dibekalkan untuk diagihkan kepada golongan B40 di Parlimen Rasah. Sebaliknya beliau cuba mengalihkan perhatian kepada soal label atau tanda.
Saya mencadangkan kepada Dato Seri Rina supaya menggunakan label Doraemon sahaja, memandangkan karaktor ini sudah sinonim dengan kementeriannya.
Ulasan Dato Seri Rina yang cuba mengalihkan perhatian dengan menuding jari kepada pihak NGO, dilihat sebagai ada udang di sebalik batu, yang menyebabkan beliau gagal memberikan jawapan terhadap soalan yang dikemukakan.
Kegagalan Menteri memberikan jawapan turut menimbulkan persepsi apakah ia berkaitan dengan agenda politik kerajaan PN yang gagal melayan golongan B40 dengan layanan samarata.
Saya masih menuntut Menteri supaya jangan lari daripada menjawab persoalan pokok, iaitu kenapa 1000 bakul makanan yang setiap satunya bernilai RM100 masih belum dibekalkan untuk Pejabat Ahli Parlimen Rasah mengagihkannya kepada golongan B40, walaupun pelaksanaan PKP telah memasuki hari ke-40. Perkara ini jelas termaktub dalam kelulusan Kementerian Kewangan yang bertarikh 27 Mac 2020.
Kerajaan pusat bertanggungjawab untuk memastikan zon PKPD diberikan keutamaan dalam agihan bakul makanan. Namun, kawasan lain juga tidak wajar diabaikan kerana ramai golongan B40 yang terkesan kehidupan harian mereka dengan pelaksanaan PKP.
Banyak kawasan Parlimen yang diwakili oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mengalami nasib yang sama, seperti apa yang terjadi di Parlimen Rasah. Situasi sebegini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan pusat PN masih “berpolitik” dalam agihan bakul makanan untuk golongan B40 ini.
Sebagai menteri yang diamanahkan tugas, Dato Seri Rina harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan kegagalan pengagihan bakul makanan kepada golongan B40.