Saya mengecam tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang hanya membenarkan satu agenda sahaja dalam Persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini. Ia seolah-olah menafikan demokrasi dan suara rakyat Malaysia.
Setiausaha Dewan Rakyat dalam notis yang bertarikh 13 Mei 2020 telah memaklumkan kepada Ahli Dewan Rakyat bahawa sidang yang dijangka pada 18 Mei ini hanya ada satu agenda sahaja iaitu Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Bangida Yang Di-Pertuan Agong.
Ketika Pakatan Harapan masih menjadi Kerajaan Persekutuan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Palimen Keempat Belas telah dijadualkan selama 24 hari, bermula pada 9 Mac sehingga 16 April. Namun, selepas Perikatan Nasional menjadi Kerajaan Persekutuan, iaitu pada 6 Mac 2020 Ahli Parlimen telah menerima notis bahawa persidangan ditunda ke 18 Mei, dengan jumlah hari persidangan dipendekkan ke 15 hari sahaja.
Pada 17 April yang lepas, sekali lagi Ahli Dewan Rakyat dikejutkan dengan notis batu yang memaklumkan bahawa persidangan hanya akan berlangsung satu hari sahaja iaitu pada 18 Mei, dengan hanya membenarkan urusan kerajaan.
Notis 17 April ini telah dipinda sekali lagi pada 13 Mei 2020, iaitu urusan kerajaan juga tidak dibincangkan dalam persidangan kali ini.
Saya berasa kecewa dengan tindakan kerajaan PN yang jelas tidak menghormati prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia, tindakan kerajaan PN jelas menunjukkan bahawa demokrasi di Malaysia kini berundur ke belakang, bukannya maju ke hadapan.
Pihak Parlimen telah mewajibkan semua Ahli Parlimen wajib menjalani ujian Covid-19 dan saya telah hadir ke Parlimen pada 14 Mei untuk tujuan ini. Langkah mewajibkan ujian Covid-19 ini disambut baik dengan keselamatan semua pihak.
Memandangkan kesemua Ahli Dewan Rakyat telah menjalani ujian Covid-19, maka adalah wajar dan munasabah agar mesyuarat kali ini dikembalikan kepada 15 hari seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini. Persidangan kali ini penting untuk membolehkan semua Ahli Parlimen diberikan peluang untuk membahaskan Usul menjunjung Titah Diraja, di samping memberikan peluang kepada Ahli Parlimen untuk membicarakan perkara yang berkaitan dengan penularan wabak Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan sejak 18 Mac 2020, dan apakah kesan terhadap kehidupan harian rakyat serta impaknya terhadap ekonomi Malaysia.
Jika Perdana Menteri boleh mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 1 Mei 2020, yang membolehkan banyak sektor kembali beroperasi dengan SOP yang digariskan. Kenapakah Ahli Parlimen yang hanya berjumlah 222 orang tidak dibenarkan melaksanakan tugas hakiki untuk membahaskan perkara yang menyentuh kenpetingan awam di dalam Dewan Rakyat?
Kerajaan PN dan Perdana Menteri wajar menghormati Konsep Pengasingan Kuasa yang mengiktirafkan kedudukan badan perundangan iaitu Parlimen. Ingin ditegaskan bahawa kerajaan PN tiada mandat daripada rakyat seperti mana yang diakui sendiri oleh Perdana Menteri, dengan itu kerajaan PN tidak sepatutnya bertindak sesuka hati tanpa pengendorsan daripada badan perundangan dan Ahli Dewan Rakyat yang mempunyai mandat daripada rakyat.