Skip to content

Mengecam tindakan kerajaan pintu belakang yang mendakwa Setiausaha Agung DAP Sdr Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew

Saya mengecam tindakan kerajaan pintu belakang yang mendakwa Setiausaha Agung DAP Sdr Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew. Pendakwaan ini bersifat politik kotor yang bertujuan untuk meruntuhkan semangat Sdr Lim Guan Eng dan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan pintu belakang telah ketandusan modal politik untuk mengekalkan kuasa, maka menggunakan taktik kotor untuk menekan pihak pembangkang. Taktik ini juga sebagai amaran kepada sesiapa yang berhasrat menyokong PH, akan menghadapi keadaan seperti Lim Guan Eng.

Sekiranya muslihat ini berjaya, kerajaan pintu belakang juga akan menggunakan taktik yang sama terhadap aktivis masyarakat atau NGO yang melawan mereka.

Hentikan politik kotor dan DAP akan memberi sokongan padu kepada Lim Guan Eng dan isterinya.

Kerajaan pintu belakang melalui Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) membuat tuduhan tanpa asas kepada Lim Guan Eng dan Betty Chew dengan tujuan untuk menjatuhkan imej baik PH terutamanya imej DAP. Ini tidak pernah berlaku sewaktu pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, yang mana walaupun teruk tetapi tidak melibatkan ahli keluarga pihak lawan. Nampaknya kerajaan pintu belakang lebih zalim daripada kerajaan BN.

Wanita DAP Selangor kecewa dan marah dengan tuduhan yang tidak berasas terhadap Betty Chew. Ini merupakan satu tamparan terhadap beliau yang selama ini bersungguh-sungguh menjaga keluarga dan membina kerjaya. Penindasan terhadap isteri kepada ahli politik jelas dilihat dan tidak sepatutnya berlaku.

Saya berharap sistem kehakiman Malaysia boleh terus kekal dengan adil dan saksama. Lim Guan Eng dan Betty Chew akan melawan habis-habisan terhadap tuduhan yang tidak berasas ini dan membersihkan nama baik mereka melalui sistem kehakiman yang adil dan saksama.