DAP mengecam tindakan Perikatan Nasional (PN) untuk menyemak semula diskaun 18% bagi tol Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang dilaksanakan kerajaan PH dan membekukan sebarang kenaikan sebagai satu langkah pertama untuk menghapuskan lebuhraya bertol. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan beliau berkata kerajaan akan menyemak semula diskaun tol 18% kerana ianya memberi impak kepada Dasar Penswastaan Negara dan akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi.
Jelas kerajaan Perikatan Nasional mengamalkan politik balas dendam dengan merungkai segala usaha dan dasar yang dilaksanakan oleh PH termasuk pemberian diskaun 18% untuk pengguna lebuhraya PLUS. Namun, dalam keghairahan mereka membalas dendam, PN lupa yang mereka sebenarnya sedang menghukum rakyat iaitu pengguna lebuhraya PLUS yang bakal menikmati penjimatan RM500 juta untuk tahun 2020 dari pengurangan tol tersebut. Kerajaan juga akan menjimatkan RM600 juta pada tahun 2020 kerana tidak perlu membayar pampasan kepada PLUS berikutan pembekuan kenaikkan kadar tol.
Satu contoh yang bagus ialah Jambatan Pertama Pulau Pinang yang turun daripada kadar zaman BN sebanyak RM7 kepada RM 5.74, dan jika seorang pengguna memiliki kad diskaun 20% untuk rakyat Pulau Pinang, dia hanya membayar RM 4.59 sahaja. Untuk Jambatan Kedua Pulau Pinang, kadar asal ialah RM8.50, kemudian diturunkan ke RM7 dan selepas diskaun 18% menjadi RM5.74 sahaja. Pengguna Jambatan Kedua Pulau Pinang menikmati penjimatan yang amat ketara, daripada RM8.50 kepada RM5.74, iaitu penjimatan hampir RM3.
Sebarang semakan semula yang memansuhkan diskaun 18% ke atas kadar tol akan menyebabkan pengguna Jambatan Pertama Pulau Pinang perlu membayar RM7.00 dan pengguna Jambatan Kedua Pulau Pinang membayar RM8.50 berbanding RM5.74 sekarang, sekaligus membebankan pengguna laluan ini yang sedia ditekan bebanan ekonomi pasca COVID.
Dasar memanfaatkan rakyat yang dilaksanakan oleh PH mungkin akan ditarik balik disebabkan politik balas dendam Perikatan Nasional. Tindakan ini amat tidak bertanggungjawab dan akan mengakibatkan ramai pengguna lebuh raya PLUS terjejas. Lebuhraya PLUS terdiri daripada New Klang Valley Expressway (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson , Lebuhraya ELITE, LINKEDUA, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan kedua-dua jambatan Pulau Pinang. PN perlu menghentikan tindakan menyemak semula diskaun 18% jika mereka benar-benar pedulikan kebajikan rakyat.