Skip to content

Mengekalkan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM akan menambah dua kegagalan kepada pentadbiran Ismail Sabri berbanding pentadbiran Muhyiddin Yassin yang gagal

Sikap Perdana Menteri yang diam seribu bahasa berkenaan kontroversi saham 2 syarikat tersenarai oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki akan menambah dua kegagalan kepada pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri berbanding kegagalan pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum ini. Azam Baki tidak lagi boleh dipertahankan daripada segi etika, moral atau undang-undang untuk terus kekal sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM apabila dia mengaku pemilikan dan pembelian berjuta-juta saham dan waran antara 2012 hingga 2016 diurusniagakan bagi pihak adiknya, Nasir Baki, yang telah menggunakan akaun saham Azam sebagai akaun proksi.

Tindakan Azam menyaman pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam kononnya telah memfitnah dirinya dengan menuntut permohonan maaf dan RM10 juta tidak akan menutup ketidakwajaran dan kelakuannya yang menyalahi undang-undang kerana pengakuan Azam adalah bukti bahawa dia memang memiliki saham itu dan telah melanggar undang-undang dengan membenarkan akaun sahamnya digunakan sebagai akaun proksi oleh adik lelakinya. Malah, tindakan saman fitnah ini tidak mungkin dapat diteruskan apabila jelas tiada sebab untuknya bertindak terhadap Lalitha yang telah menyatakan fakta sebenar, dan jelas bahawa tindakan saman tersebut bertujuan untuk menutup dan mengalih perhatian daripada kegagalan untuk menjawab kelakuan salahnya itu.

Menyalahgunakan akaun dagangan sahamnya sebagai akaun proksi untuk adik lelakinya juga telah menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti kerana kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan. Jelas sekali ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 25A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), yang melarang individu daripada mendagangkan sekuriti menggunakan akaun dagangan orang lain melainkan dia adalah ejen depositori yang dibenarkan.

Kesalahan di bawah Seksyen 25 boleh dihukum denda sehingga RM3juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Selain itu, Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan 3/2002 juga melarang seseorang penjawat awam memiliki saham melebihi RM100,000. DAP melalui, Ketua Biro Bantuan Guaman DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ram Karpal dan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng telah menawarkan untuk membantu sepenuhnya dan menyokong Lalitha sekiranya Azam meneruskan tindakan saman fitnah itu.

Tindakan Azam terhadap pemberi maklumat semata-mata kerana menyatakan fakta juga yang telah melucutkan kelayakannya daripada menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang terikat secara undang-undang untuk melindungi pemberi maklumat kerana SPRM sepatutnya bertindak sebagai pelindung terhadap mereka yang mendedahkan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan kewangan. Atas sebab ini, walaupun Ismail mahu melindungi Azam, secara politiknya, ia seperti menegakkan benang yang basah, melainkan Ismail mahu menambah dua lagi kegagalan berbanding Perdana Menteri terdahulu, yang dikenali dengan kegagalan pengurusan wabak COVID-19 dan kegagalan untuk mengeluarkan negara daripada kemelesetan ekonomi.

Di bawah pengawasan Ismail sebagai Perdana Menteri, ekonomi dan pandemik COVID-19 tidak bertambah baik dengan 31,644 kematian dan 2,769,533 jangkitan setakat 7 Januari 2022. Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi terburuk di ASEAN dengan penguncupan negatif 4.5% bagi suku tahun ketiga 2021 berikutan kegagalan “sekatan penuh” (total lockdown) yang bersiri.

Kegagalan pengurusan bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini yang menyebabkan lebih 50 kematian dan kerugian ekonomi dianggarkan RM20 bilion adalah satu noda hitam pada rekod pentadbiran Ismail yang hanya akan diburukkan lagi dengan kegagalannya untuk mengambil tindakan terhadap Azam. Kedua-dua kegagalan ini akan membuktikan bahawa Ismail lebih teruk daripada Muhyiddin dan meninggalkan beliau dengan rekod yang sebagai Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah Malaysia.