Skip to content

Kemukakan usul tergempar bagi membahaskan kenaikan tol mendadak di 18 buah lebuhraya seluruh negara

Pada hari Isnin hadapan apabila Parlimen kembali bersidang, saya akan mengemukakan usul tergempar bagi membahaskan kenaikan tol mendadak di 18 buah lebuhraya seluruh negara.

Saya berharap speaker Dewan Rakyat akan membenarkan usul ini dibahaskan.

Saya juga berharap ahli-ahli Parlimen daripada kedua-dua belah blok kerajaan dan pembangkang akan menyokong usul tersebut atas dasar kepentingan negara dan kesannya terhadap ekonomi rakyat dari segenap lapisan masyarakat, tidak kira kaum dan latar pendapatan.

Ahli-ahli Parlimen patut berbahas berkenaan hal ini dan meneliti perjanjian konsesi tol serta mencari jalan untuk menghentikan kenaikan harga tol tanpa perlu membayar pampasan kepada operator lebuhraya.

Dewan Rakyat juga patut berbahas kemungkinan kerajaan mengambil alih syarikat-syarikat konsesi tol lebuhraya untuk mengelakkan situasi kenaikan tol mendadak daripada berlaku lagi pada masa depan.

Saya amat berharap supaya pihak kerajaan dapat menyokong perbahasan usul tergempar pada Isnin hadapan yang telah saya serahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin demi kepentingan bersama, dan menolak tepi sebarang permasalahan politik.