Skip to content

Menggantikan SST dengan GST 6% akan memberikan pendapatan berganda kepada kerajaan sebanyak RM32 bilion setiap tahun

Rakyat Malaysia mahukan masa depan yang lebih cerah buat anak cucu, agar mereka diberi peluang saksama, dilayan secara bermaruah dan hidup dengan lebih makmur dan aman; tidak seperti generasi terdahulu. Rakyat Malaysia tidak mahu dipecahbelah dan dibeza-bezakan antara yang Melayu dengan yang bukan Melayu, yang Muslim dengan yang bukan Muslim mahupun antara negeri Pakatan Rakyat dengan yang sebaliknya.

Rakyat yang beragama Hindu turut rasa dipinggirkan, apabila sensitiviti agama mereka diinjak-injak di sekolah, kuil mereka dirobohkan dan rayuan supaya memboikot sidang CHOGM bulan depan di Colombo atas alasan hak asasi manusia dan bersolidariti dengan puluhan ribu warga Tamil yang dibunuh kerajaan Sri Lanka, tidak diendahkan.

Ketimbang menggunakan ketakutan dan kebencian untuk menutup korupsi dan salah guna kuasa, rakyat Malaysia mahu bersatu atas nilai-nilai keadilan, kebebasan, demokrasi, integriti dan kebenaran. Kita mahu supaya masalah hutang negara dan membelon serta defisit yang bertambah ditangani, dan supaya tidak mengenakan cukai atau menarikbalik subsidi kepada orang miskin tanpa menarikbalik subsidi daripada yang kaya.

Kenapa tarik balik subsidi gula untuk orang miskin yang hanya akan menjimatkan Rm513 juta setahun tanpa menyentuh subsidi gas untuk para pengeluar tenaga IPP yang kaya raya sebanyak RM12 bilion setiap tahun? Kenapa bercakap tentang mengurangkan perbelanjaan apabila hutang negara terus meningkat sehingga RM541 bilion pada hujung tahun ini berbanding RM502 bilion pada 2012?

Walaupun Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak mengumumkan bahawa defisit bajet 2014 telah berkurang daripada 4% daripada KDNK kepada 3.5% daripada KDNK, Fitch Ratings tidak teruja pun dan terus mengekalkan unjuran kredit negatif untuk Malaysia. Ini jelas menunjukkan bahawa Fitch Ratings meragui komitmen Najib Razak untuk mengurangkan defisit belanjawan persekutuan berikutan pendedahan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua bahawa bertambahnya hasil yang dikutip sebanyak RM14.4 bilion tidak langsung menurunkan defisit.

Daripada menurunkan defisit belanjawan 2013 daripada 4% kepada 2.6% daripada KDNK, ataupun jumlah defisit daripada RM39 bilion kepada RM26 bilion, jumlahnya tetap sama pada RM39 bilion. Dengan kata lain, lebihan RM14.4 bilion itu telah pun dibelanjakan. Jelas sekali, kerajaan tidak serius hendak mengurangkan defisit apabila ia terang-terang membazirkan wang lebih yang diterima daripada projek-projek gajah putih seperti projek Menara Warisan 100 tingkat bernilai RM5 bilion; serta enggan mengambil tindakan terhadap kesalahan-kesalahan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang berjumlah RM6.5 bilion.

Cukai GST 6% juga akan memaksa orang miskin selain 94% populasi negara yang tidak membayar cukai, untuk membayar cukai buat pertama kali. Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Mohd Irwan Serigar Abdullah telah pun mengakui bahawa kerajaan akan mengutip lebih banyak hasil daripada cukai GST 6% berjumlah RM23.18 bilion dalam masa sembilan bulan pertama pelaksanaan.

Irwan berkata bahawa seandainya kerajaan meneruskan cukai SST (sales and services tax) ia hanya akan mengutip hasil sebanyak RM14.4 bilion bagi jangka masa serupa.

Irwan juga berkata bahawa GST akan membawa hasil berjumlah RM32 bilion untuk setahun penuh pada 2016. Bagi tahun 2013, SST dianggar mengutip hanya RM16.4 bilion untuk Kerajaan Persekutuan.

Dengan kata lain, dengan menggantikan SST dengan GST, Kerajaan Persekutuan boleh meningkatkan pendapatannya dua kali ganda. Dan memandangkan GST akan dikenakan terhadap kesemua 27 juta rakyat Malaysia, hasil GST RM32 bilion yang dikutip setiap tahun itu bermakna secara purata setiap satu warga Malaysia akan membayar RM1,200 setiap seorang.

Seperti juga semua rakyat Malaysia, penganut agama Hindu juga akan meraikan Deepavali GST dengan membayar lebih banyak cukai tanpa harapan untuk membasmi rasuah mahupun harapan melihat perkhidmatan kereajaan yang lebih baik.