Pada bulan Disember tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah menyatakan kesungguhan kerajaan dalam memastikan hak dan peluang warga Orang Kelainan Upaya (OKU) diberikan perhatian yang sewajarnya. Antara janji utama beliau adalah memastikan kesemua kementerian di bawah kawal selia kerajaan mencapai dasar satu peratus (1%) pekerja OKU upaya dan perkara tersebut juga dijadikan sebagai penanda aras bagi setiap kementerian pada tahun ini.
Usaha ini sememangnya adalah usaha yang perlu dipuji kerana sekian lamanya, kepentingan akses sama rata kepada golongan OKU terutamanya di dalam sektor perkhidmatan awam, dititik beratkan. Walaupun begitu, sehingga ke hari ini, kenyataan ini adalah kenyataan semata-mata. Apakah kenyataan yang dinyatakan dimanifestasikan secara zahir?
Justeru, Perdana Menteri kini digesa untuk menunjuk statistik dan bilangan golongan ini yang sudah menjadi sebahagian daripada sektor perkhidmatan awam dan apakah mereka sudah memenuhi 1% peratusan yang dinyatakan sebelum ini. Jikalau pihak kerajaan benar-benar bersungguh-sungguh dengan janji mereka, perkara seperti ini perlu dikemas kini sentiasa dan diberitahu kepada rakyat umum.
Kesungguhan pihak kerajaan dalam memastikan peluang dan nasib golongan OKU dibela perlu bermula dari perkara-perkara umum. Sekiranya kita lihat kemudahan OKU sedia ada, masih tidak cukup untuk membantu mereka menjalani kehidupan seharian. Banyak lagi tempat yang mempunyai laluan pejalan kaki berpenghadang, banyak lif masih tiada di bangunan awam bertingkat, laluan ‘ramp’ masih banyak yang tidak ada dan banyak lagi. Malahan, ramai golongan OKU berpotensi terpaksa menolak peluang-peluang pekerjaan yang sesuai dengan mereka kerana ketiadaan kemudahan infrastruktur. Dalam masa yang sama, kita juga dapat lihat di premis-premis kerajaan di luar bandar, keberadaan mereka seolah-olah tiada.
Saya akan bangkitkan isu ini di sidang dewan rakyat sejurus sahaja parlimen memulakan sesi pada bulan depan. Di sini juga saya menggesa agar kerajaan meningkatkan peratusan tersebut kepada 1.5 peratus bagi tahun 2023. Adalah lebih wajar peratusan ini ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan usaha ini adalah usaha yang bersungguh, dan bukan bersifat tokenistik semata-mata.