Skip to content

Menggesa Kerajaan Malaysia untuk memperkasakan lagi pendidikan hak asasi manusia di institusi pendidikan terutamanya sembilan perjanjian teras hak asasi antarabangsa yang telah diluluskan oleh PBB

Saya menggesa Kerajaan Malaysia untuk memperkasakan lagi pendidikan hak asasi manusia di institusi pendidikan terutamanya sembilan (9) perjanjian teras hak asasi antarabangsa yang telah diluluskan oleh PBB.

Pada 9 Disember 2018, Kerajaan Baru Malaysia telah menyambut Hari Hak Asasi Manusia buat kali pertama. Sambutan ini amat bermakna dan bersejarah kerana ini menandakan bahawa era Barisan Nasional yang selama ini melakukan kezaliman dan penindasan terhadap masyarakat Malaysia terutamanya aktivis mahasiswa telah berakhir. Dengan menilai tindak balas kerajaan baharu terhadap penganjuran forum serta dialog serta sikap keterbukaan terhadap demonstrasi jalanan baru-baru ini, kebebasan bersuara para warganegara adalah dihormati dan dipertahankan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Kepentingan sambutan Hari Hak Asasi Manusia Global Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) setiap 10 Disember adalah untuk memperingati penerimaan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) pada tahun 1948. Sejak ditubuhkan pada tahun 1973, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang mendukung prinsip Keadilan, Kebebasan dan solidariti turut memperjuangkan hak dan kebebasan asasi yang termaktub dalam deklarasi tersebut.

Sempena hari Hak Asasi Manusia Sedunia, para perwakilan DAPSY sebulat suara meluluskan usul mengenai Hak Asasi Manusia dalam Kongres Kebangsaan DAPSY 2018 yang telah dijalankan pada 2 Disember yang lalu. Usul tersebut menyeru pihak Kerajaan Malaysia untuk memperkasakan lagi pendidikan hak asasi manusia di institusi pendidikan terutamanya sembilan (9) perjanjian teras hak asasi antarabangsa yang telah diluluskan oleh PBB.

Pendidikan hak asasi manusia telah diabaikan oleh Barisan Nasional selama ini. Akibatnya, perjanjian teras hak asasi antarabangsa seperti Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) telah diburukkan oleh parti politik yang tidak bertanggungjawab dengan penipuan, informasi palsu dan kenyataan yang amat rasis. Sekiranya masyarakat memperoleh pendidikan sivik yang menyeluruh, maka mustahillah pihak ekstremis dapat mengambil kesempatan untuk mempergunakan agama dan bangsa sebagai modal politik.

Oleh itu, Kerajaan harus memandang serius terhadap Pendidikan hak asasi manusia. Sesi penerangan dan diskusi berhubung dengan perjanjian teras hak asasi antarabangsa harus diperbanyak di IPTA dan IPTS. Kempen kesedaran hak asasi manusia oleh SUHAKAM dalam pelbagai bahasa juga harus digalakkan supaya informasi menjangkau semua lapisan masyarakat.

Akhirnya, DAPSY yakin bahawa kerajaan baru dan seluruh masyarakat Malaysia akan terus mempertahankan hak asasi, maruah dan nilai manusia tanpa mengira kaum, agama serta jantina demi kedamaian negara dan dunia.