Kerajaan Malaysia memberi pelbagai insentif dan pengecualian cukai untuk menarik syarikat-syarikat asing melabur di Malaysia tetapi tidak melayan pelabur-pelabur tempatannya sendiri dengan baik.
Dalam satu rencana yang ditulis oleh Encik Pankaj C. Kumar dalam suratkhabar The Star pada 6/6/2022, beliau menyatakan bahawa jumlah cukai yang dikenakan ke atas pemegang-pemegang saham syarikat perladangan kelapa sawit adalah setinggi 54% keuntungan syarikat. Kerajaan mengenakan cukai pendapatan korporat, cukai makmur, Levi Keuntungan Luar Biasa, bayaran ses, cukai jualan dan levi eksport ke atas syarikat perladangan kelapa sawit. Kerajaan tidak memberikan sebarang bantuan apabila syarikat-syarikat perladangan ini mengalami kerugian.
Kerajaan sepatutnya hanya mengenakan cukai pendapatan korporat sebanyak 25% daripada keuntungan syarikat perladangan kelapa sawit seperti yang dikenakan ke atas perniagaan-perniagaan lain.
Kerajaan juga hendaklah berhenti serta-merta mengutip Levi Keuntungan Luar Biasa atas Buah Tandan Segar (BTS) kelapa sawit atas 2 sebab perundangan berikut:-
- Perintah Levi Keuntungan Luar Biasa (Buah Kelapa Sawit) 2008 (selepas ini dipanggil ‘Perintah Levi 2008’) yang dibuat oleh Menteri telah tamat tempoh.
- Jika pun Perintah Levi 2008 masih berkuat kuasa, ia tidak sah kerana Perintah Levi 2008 seperti yang dipinda oleh Perintah Levi Keuntungan Luar Biasa (Buah Kelapa Sawit) (Pindaan) (No.2) 2009 (selepas ini dipanggil ‘Perintah Levi (Pindaan No.2) 2009’) telah melanggari Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang. Perintah Levi (Pindaan No. 2) 2009 telah mengecualikan kebun kelapa sawit yang ditanam di kawasan penempatan berkelompok di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 daripada dikenakan Levi Keuntungan Luar Biasa. Diskriminasi sedemikian tidak dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen 7 Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 memperuntukkan bahawa Perintah menentukan jumlah levi yang akan dikenakan di bawah Akta itu hendaklah dibentangkan di Dewan Rakyat dan Perintah tersebut terhenti berkuat kuasa apabila tamat tempoh 120 hari dari tarikh ia dibentangkan di Dewan Rakyat melainkan dilanjutkan dengan satu ketetapan Dewan Rakyat, yang sejauh pengetahuan saya tiada sebarang ketetapan sedemikian telah dibuat.
Jika pun Perintah Levi 2008 masih sah, kerajaan tidak sepatutnya terus mengenakan Levi Keuntungan Luar Biasa ke atas industri kelapa sawit kerana tiada langsung keuntungan luar biasa dalam industri itu.
Kerajaan pada masa ini mengenakan Levi Keuntungan Luar Biasa ke atas BTS apabila harga Minyak Sawit Mentah (MSM) melebihi RM3,000.00 setiap Tan Metrik (MT). Kos pengeluaran untuk Satu (1) MT MSM kini sudah mencapai lebih kurang RM3,000.00 ! Bagaimanakah Levi Keuntungan Luar Biasa boleh dikenakan apabila syarikat tidak membuat sebarang keuntungan? Terdapat lonjakan besar dalam kos pengeluaran baru-baru ini kerana sebab-sebab berikut:-
- Kekurangan pekerja. Kerajaan telah gagal sama sekali dalam menguruskan ketersediaan pekerja untuk sektor perladangan dan juga sektor-sektor yang lain. Kos penuaian Satu (1) MT BTS telah meningkat daripada RM30.00 setiap MT (bersamaan dengan RM150.00 jika diukur dengan MSM) kepada setinggi RM150.00 setiap MT (RM750.00 setiap MT jika diukur dengan MSM). Kos penuaian berbeza dari satu tempat ke satu tempat bergantung kepada betapa sukarnya untuk menuai BTS. Disebabkan kekurangan pekerja yang teruk dan lonjakan mendadak dalam harga MSM melebihi RM7,500.00 setiap MT (kini turun ke bawah RM4,000.00 setiap MT), pemilik ladang sanggup membayar pekerja dengan harga yang sangat tinggi untuk penuaian BTS jika tidak BTS akan menjadi terbiar dan reput. Produktiviti BTS juga menurun kerana ladang tidak diurus dengan baik kerana kekurangan pekerja. BTS biasanya dituai setiap 2 minggu tetapi kerana kekurangan pekerja, kini BTS dituai setiap 30 hari sekali menyebabkan buah-buah yang masak jatuh ke tanah menjadi reput atau jika dikutip memerlukan kos kira-kira RM200.00 setiap MT untuk mengutip biji-biji buah yang berselerak atas tanah.
- Harga baja sudah meningkat tiga kali ganda. Kos baja membentuk kira-kira 1/3 daripada jumlah kos pengeluaran BTS.
- Kos racun rumpai juga telah meningkat lebih dua kali ganda.
Pengenaan 3% Levi Keuntungan Luar Biasa merupakan satu penambahan kos pengeluaran yang besar kepada industri sawit. Bagi seseorang yang tidak biasa dengan industri ini, pengenaan 3% Levi Keuntungan Luar Biasa memberi gambaran bahawa ia adalah cukai 3% ke atas keuntungan luar biasa yang diperolehi oleh syarikat. Gambaran ini adalah tidak tepat sama sekali. Formula pengiraan adalah sebegini: 3.0%(harga MSM untuk bulan berkenaan – RM3,000.00). 3.0% Levi Keuntungan Luar Biasa adalah bersamaan dengan 8.46% daripada jumlah hasil jualan BTS kasar (bukan keuntungan) untuk Mei 2022 dan 7.63% daripada jumlah hasil jualan BTS kasar untuk Jun 2022.
Levi Keuntungan Luar Biasa dibandingkan dengan hasil jualan BTS
- Harga MSM untuk Mei 2022 – RM6,870.00
- Harga MSM untuk Jun 2022 – RM6,106.00
Levi Keuntungan Luar Biasa:
3% daripada (RM6,870.00 – RM3,000.00)
= RM116.19 setiap MT.
Harga jualan BTS bagi Mei 2022 ialah kira-kira RM1,374.00 setiap MT (20% daripada harga MSM).
Oleh itu, Levi Keuntungan Luar Biasa adalah 116.19/1,374 X 100% = 8.46% daripada hasil jualan BTS.
Levi Keuntungan Luar Biasa:
3% daripada (RM6,106.00 – RM3,000.00)
= RM93.18 setiap MT.
Harga jualan BTS bagi Jun 2022 ialah kira-kira RM1,221.20 setiap MT (20% daripada harga MSM).
Oleh itu, Levi Keuntungan Luar Biasa adalah RM93.18/RM1,221.20 x 100% = 7.63% daripada hasil jualan BTS.
Industri kelapa sawit merupakan satu industri yang sangat penting kepada Malaysia dan kerajaan Malaysia seharusnya menghargai semua pihak yang telah menjayakan industri ini. Kerajaan Malaysia bagaimanapun, tidak melayan mereka dengan baik jika dibandingkan dengan layanan yang diberikan kepada pelabur-pelabur asing kerana Kerajaan Malaysia mengenakan cukai yang paling banyak ke atas komoditi minyak sawit.