Skip to content

Menggesa Kerajaan PN supaya mengetepikan agenda politik dan memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan serta pembelajaran murid-murid yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19

Pembelajaran secara dalam talian telah menjadi satu amalan dalam menjalani norma baharu ini. Sehubungan itu, Menteri Kewangan telah mengumumkan bahawa GLC dan GLIC akan menyumbang sebanyak RM150 juta kepada Tabung CERDIK. Seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah dijangka akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian sebagai projek rintis.

Ini adalah satu inisiatif yang bagus. Tetapi pada pandangan saya, ia adalah “TOO FEW AND TOO LATE”. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjalankan Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara Dalam Talian pada 28 Mac hingga 2 April 2020 yang lalu. Kajian ini melibatkan 670,118 responden yang terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 murid.

Dapatan kajian menunjukkan masih terdapat 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian. Dapatan ini juga menunjukkan bahawa sebahagian besar murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian dengan berkesan kerana tidak memiliki peranti bersesuaian.

Di samping itu, terdapat juga kekangan dalam akses kepada internet. Keadaan ini menyebabkan pembelajaran tidak dapat berlaku secara menyeluruh dan seragam kepada semua murid.

Kita mempunyai keseluruhan 4.7 juta orang murid yang belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Sekiranya 37 peratus daripada jumlah ini tidak mempunyai sebarang peranti bagi mengikuti pembelajaran dalam talian, ini bermakna 1.7 juta unit peranti diperlukan.

150,000 murid yang bakal menerima komputer riba berbanding 1.7 juta unit peranti yang diperlukan? Apakah usaha lain KPM untuk mengatasi isu ini?

Selain daripada itu, kita juga kurang pasti bila sumbangan GLC dan GLIC akan diterima Tabung Cerdik. Adakah pada Januari 2021? Jun 2021? Ataupun Disember 2021?

Oleh itu, saya cadangkan, gunalah peruntukan JASA yang berjumlah RM85.5 juta kepada KPM untuk pembelian peranti. Kalau kita membeli tablet yang berharga RM600 hingga RM800, kita akan dapat 103,875 hingga 142,500 unit tablet untuk murid-murid kita.

Seperti yang disebut oleh Menteri Kewangan dalam ucapan beliau pada hari Jumaat yang lalu, matlamat pertama Belanjawan 2021 adalah Kesejahteraan Rakyat.

Oleh yang demikian, saya menggesa Kerajaan PN supaya mengetepikan agenda politik dan memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan serta pembelajaran murid-murid yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.