Skip to content

Menggesa supaya BTN dimansuhkan dengan segera

Merujuk kepada bahan propaganda dari laman web rasmi Biro Tatanegara (BTN) dalam bentuk-bentuk presentation slides yang kemungkinan besar digunakan sebagai bahan kursus atau ceramah anjuran BTN yang tersebar di media social pada 15 Jun yang lalu.

Bahan-bahan propaganda tersebut digunakan sebagai bahan kursus atau ceramah anjuran BTN yang disertai oleh mahasiswa universiti dan kakitangan kerajaan. Kita telah maklum selama bertahun-tahun bahawa Biro Tatanegara adalah satu medium yang digunakan untuk aktiviti brainwashing peserta-peserta kursus tersebut dan sering menggunakan isu perkauman dan agama demi untuk meraih sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional. Bukti yang nyata telah ditunjukkan di dalam bahan kursus berkenaan.

Sebagai contoh terdapat slaid-slaid yang memfitnah pelbagai pihak termasuk parti politik seperti DAP, NGO-NGO dan aktivis politik. Saya sendiri tidak terlepas dari menjadi bahan kursus tersebut di mana saya dan rakan-rakan seperjuangan di dalam parti DAP, Young Syefura, Melati dan Zairil Khir Johari dikatakan dijadikan ikon untuk menarik sokongan anak muda sebagai strategi parti DAP untuk memecah-belahkan orang melayu. Selain itu DAP juga dikatakan berkempen untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Persekutuan Malaysia. Bahan tersebut juga mempunyai slaid yang mengandungi ayat “Bahtera Barisan Nasional Tetap Utuh dan Gah! Tiada Tandigan” Terdapat juga slaid yang mengatakan rasisma itu bagus dan kononnya lahir dari konsep assabiyah Islam. Ternyata sekali bahawa kursus ini berbaur politik fitnah dan keji dengan menggunakan agensi rasmi kerajaan di samping mewajibkan kehadiran peserta-peserta tersebut.

Pada 5 Mac 2014, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga telah mengakui kursus BTN mengajak peserta untuk menyokong kerajaan secara membuta-tuli. Beliau telah mencadangkan supaya kursus BTN dikaji semula dan peserta tidak harus diajar untuk menyokong Kerajaan Barisan Nasional secara membuta-tuli.[1] Walaupun Menteri telah menyatakan cadangan ini lebih dari setahun, tetapi ternyata BTN tidak melakukan apa-apa perubahan malah terus memfitnah dan melakukan aktiviti brainwashing dengan mengunakan bahan-bahan baru.

Bukankah Biro Tatanegara ini bermatlamat untuk memupuk pembinaan negara bangsa yang utuh? Namun dengan bukti-bukti yang bersumberkan laman web rasminya sendiri, BTN lebih kepada memusnahkan negara bangsa dengan terus memfitnah dan menimbulkan perasaaan marah dan benci di antara rakyat Malaysia sendiri. Malang sekali, kebanyakan peserta terpaksa hadir kursus berkenaan sebagai kriteria untuk naik pangkat dan sebagainya. Adakah ini menunjukkan BTN tidak menghormati hak demokrasi dengan cuba memaksa mahasiswa dan kakitangan kerajaan sebagai peserta BTN untuk menyokong Barisan Nasional?

Adakah kerajaan ingin bertanggungjawab ke atas BTN yang bertujuan untuk memfitnah dan memusnahkan perpaduan rakyat Malaysia dengan memainkan sentimen perkauman, agama, dan perpecahan? Adakah rakyat Malaysia sebagai pembayar cukai rela dengan peruntukan bajet berpuluh juta ringgit yang diberikan kepada BTN untuk tujuan ini?

Biro Tatanegara secara terang-terangnya tidak menghormati hak demokrasi, memupuk sifat rasisma dan kebencian, dan membawa akibat buruk kepada sektor awam dan perpaduan rakyat Malaysia. Sebarang kegiatan propaganda politik dengan menggunakan fitnah sebegini tidak seharusnya dijalankan oleh agensi kerajaan. Oleh itu, saya menggesa supaya BTN dimansuhkan dengan segera kerana ia menghasut, membawa perpecahan dan bertujuan mengucar-kacirkan perpaduan rakyat Malaysia. Selain itu segala usaha, tenaga dan masa harus disalurkan untuk menterbalikkan kesan buruk yang telah dilakukan oleh BTN selama beberapa tahun ini.