Data dan fakta saintifik adalah penting, segerakan penilaian risiko. Juga, adalah diharap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat menyegerakan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ‘Safe@Work’ sebagaimana saya tekankan dalam kenyataan sebelum ini. Serentak itu, penguatkuasaan bukan sahaja dilaksanakan dengan tegas terhadap individu sebaliknya juga kilang-kilang yang ingkar pematuhan SOP terutamanya yang mencatatkan kes-kes berulang. Sebagai tambahan, suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan juga perlu disegerakan kepada mereka yang bekerja/berkhidmat dalam sektor perkilangan di negeri ini.
Tiga hari lalu, Pulau Pinang menerima laporan kes membabitkan Depot Tahanan Imigresen Juru yang mana telah meningkatkan kembali jumlah kes-kes jangkitan COVID-19 di negeri ini.
Sebelum itu, kita turut dikejutkan dengan penularan kes di institusi-institusi pendidikan sehingga Kerajaan Negeri menggesa supaya tindakan drastik diambil sesegera mungkin termasuk menutup atau mengaktifkan 100 peratus pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan Kluster Teluk Air Tawar yang mana penularannya telah melibatkan barisan pengajar, kakitangan serta pelajar Kolej Vokasional Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU) dan penutupan telah dibuat oleh pihak pengurusan kolej tersebut.
Kerajaan Negeri dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bahawa sehingga semalam, 20 Mac 2021, sebanyak 18 kluster aktif dicatatkan di negeri ini dan pecahan mengikut sektor adalah seperti berikut:-
- Perkilangan, 11 kluster;
- Pendidikan, 1 kluster;
- Depot Tahanan Imigresen/Penjara, 2 kluster;
- Lain-lain, 4 kluster.
Melihat kepada laporan berkaitan, sektor perkilangan masih mencatatkan jumlah kluster tertinggi. Dengan ini, Kerajaan Negeri menggesa supaya KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti kembali penilaian risiko situasi semasa. Walaupun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak tahun lalu sehingga kini, kawasan perindustrian di Mukim 12 dan Mukim 13, Daerah Timur Laut masih kekal zon merah. Malah, lebih membimbangkan, ia kini menular ke Mukim 13, Mukim 12 dan Mukim 15 di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang juga merupakan kawasan perindustrian penting kepada negeri ini. Realitinya, penularan kes-kes di kilang-kilang kemudian merebak ke sekolah-sekolah kawasan sekitar berpunca daripada ibu bapa yang berkerja di kilang-kilang terbabit.
Saya menerima banyak keluhan terutamanya daripada ibu bapa yang resah, kecewa dan sangsi terhadap situasi semasa berkenaan. Mereka patuh kepada SOP ditetapkan, tetapi kes masih tinggi yang secara tidak langsung telah menjejaskan kehidupan seharian termasuk perniagaan dan pekerjaan masing-masing.
Justeru, saya menggesa supaya empat pendekatan dinyatakan dapat dilaksanakan pada kadar segera oleh pihak-pihak berkaitan demi keselamatan kesihatan rakyat negeri ini dan kepentingan pembangunan ekonomi Pulau Pinang yang juga antara penyumbang penting Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.