Saya menggesa supaya kerja-kerja di kawasan runtuhan pembinaan MRT antara Kota Damansara dan Sungai Buloh yang telah mengorbankan tiga pekerja asing dihentikan serta merta bagi memberi laluan kepada operasi menyelamat, memandangkan ia masih mengancam keselamatan pekerja dan orang ramai yang lalu lalang.
Saya menggesa supaya pihak berkuasa membuat penilaian semula terhadap semua kontraktor untuk memastikan bahawa kesemua mereka mematuhi prosedur kerja pembinaan yang ketat; memandangkan ini bukanlah kali pertama tapak pembinaan MRT mengalami kemalangan seperti ini.
Dalam masa terdekat, sudah banyak terjadi kemalangan berkaitan MRT dan LRT. Semua pihak terutamanya kontraktor mesti bertanggungjawab terhadap keselamatan tapak pembinaan, termasuk juga pihak berkuasa yang telah memberikan kelulusan terhadap projek berkenaan.
Saya turut menggesa supaya Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Syed Hamid Albar serta Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid untuk meletakkan jawatan kerana gagal menyelia perjalanan projek sebaik-baiknya sehinggakan kemalangan sebegini sering berlaku dan membahayakan keselamatan awam.
Kemalangan runtuhan konkrit seberat 300 tan yang membunuh tiga pekerja asing tersebut tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi projek MRT sepanjang 51km itu dijangka siap hanya pada Julai 2017. Adakah pihak berkuasa dan juga kontraktor telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi memastikan kemalangan sedemikian tidak lagi berulang?
Kerajaan seharusnya berusaha memperbaiki sistem pengangkutan awam di Lembah Klang dan membangunkan hub pengangkutan dengan projek sambungan LRT dan MRT demi kebaikan orang ramai; namun kemalangan yang kian kerap bukan sahaja membahayakan nyawa pekerja binaan tetapi juga mengancam keselamatan orang awam yang semakin runsing dengan keadaan ini.
Walaupun memang sukar untuk mencegah kemalangan, namun kejadian runtuhan yang berlaku menjadi petunjuk bahawa terdapat kelalaian dalam langkah keselamatan; jika ini tidak dititikberatkan, pekerja binaan dan juga orang ramai akan berdepan lebih banyak masalah.
Saya menggesa pihak berkuasa untuk memberi perhatian terhadap kejadian ini dan menyiasat punca kejadian serta mencadangkan piawaian keselamatan yang lebih tegas serta mendahulukan keselamatan pekerja dan orang awam.