Ingin saya merujuk kepada laporan media berhubung dengan lawatan media kepada perkhidmatan kapal laju yang dianjurkan oleh Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) pada 28 Disember 2020, di mana sesi tersebut telah sekaligus mengesahkan nasib perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang bakal dihentikan selepas 31 Disember 2020.
Ia turut dilaporkan bahawa pengendalian perkhidmatan kapal laju yang menggantikan feri ikonik bagi penumpang akan menggunakan Jeti Swettenham (Swettenham Pier Cruise Terminal – SPCT), dan kerja-kerja menaik taraf akan dilakukan bermula 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun 2022 di Pengkalan Raja Tun Uda di sebelah Pengkalan Weld dan Terminal Feri Sultan Abdul Halim di sebelah Butterworth.
Susulan daripada itu, kini nasib kepada perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang sudah hampir kenal pasti dengan pengumuman sedemikian namun nasib kepada 16 pengusaha gerai dan kiosk di Terminal Feri Pulau Pinang (Pengkalan Raja Tun Uda) masih belum dimuktamadkan.
Hari ini genap satu minggu selepas sidang media yang dianjurkan oleh saya bersama dengan para pengusaha gerai dan kiosk di Terminal Feri Pulau Pinang pada 22 Disember 2020 untuk menuntut pihak berwajib, iaitu Penang Port Sdn. Bhd. yang akan mengambil alih perkhidmatan pengangkutan laut di Negeri Pulau Pinang ini, untuk mengadakan perbincangan dan mencari jalan penyelesaian kepada gemelut dan kesukaran yang dihadapi oleh para pengusaha gerai dan kiosk ini.
Adalah begitu menghampakan untuk saya memaklumkan bahawa setakat kini, tiada sebarang makluman dan keputusan yang telah disampaikan kepada para pengusaha gerai dan kiosk yang terlibat. Nasib dan mata pencarian mereka bakal mengalami kesan yang teruk seakibat keputusan pihak berwajib yang berkenaan untuk mengendalikan perkhidmatan pengangkutan kapal laju bagi penumpang pejalan kaki di Jeti Swettenham.
Ini ditambahkan lagi dengan pengesahan bahawasanya kerja-kerja menaik taraf akan dijalankan di Pengkalan Raja Tun Uda sehingga 30 Jun 2022. Apakah nasib dan hala tuju para pengusaha gerai dan kiosk sepanjang masa kerja menaik taraf dijalankan?
Selain daripada pengusaha gerai dan kiosk, saya turut mendengar rintihan para pengusaha teksi yang beroperasi di Pengkalan Raja Tun Uda, yang merupakan salah satu pihak yang akan terjejas susulan daripada peralihan perkhidmatan kapal laju ke Jeti Swettenham.
Ingin saya menggesa supaya pihak berwajib yang berkenaan, khususnya Penang Port Sdn. Bhd. untuk mengambil tindakan serta merta untuk menangani rintihan yang dihadapi oleh para pengusaha gerai dan kiosk di Pengkalan Raja Tun Uda ini. Daripada 16 pengusaha yang terbabit, ramai di antara mereka telah beroperasi untuk satu jangka masa yang panjang di tempat berkenaan dan seharusnya, segala perancangan peralihan perkhidmatan ini perlu melihat kepada keadaan yang dihadapi oleh mereka.
Kini dengan nasib feri ikonik Pulau Pinang yang telah dihentikan oleh Kerajaan Perikatan Nasional, jangan membiarkan para pengusaha gerai dan kiosk di Terminal Feri Pulau Pinang mengalami nasib yang sama seperti feri ikonik Pulau Pinang kita.